Sekumpulan arnab dan tikus berperang habis-habisan. Puncanya, mereka berebut untuk menguasai satu kebun keledek berhampiran hutan tempat tinggal mereka. Sudah banyak nyawa terkorban di kedua-dua belah pihak, namun mereka masih terus berperang.
Akhirnya, hanya seekor tikus dan seekor arnab sahaja yang tinggal. Itupun badan kedua-duanya cedera dan luka-luka. Nampaknya, kini mereka berdepan satu sama satu.
“Ini pertarungan penentuan!”
“Ya! Ini persoalan hidup atau mati!”
“Mengapa kamu perlu sangat keun keledek tu? Mengapa kamu tidak cari sahaja makanan dalam hutan dan serahkan kebun keledek itu kepada kami?” Tanya arnab.
“Di hutan makanan sudah makin berkurang. Kami terpaksa bersaing dengan binatang lain,” jawab tikus.
“Oh…begitu….” Kata arnab mula memahami.
“Kenapa pula kamu sangat inginkan kebuh itu?” Tanya tikus.
“Kami pun sama juga. Sekarang musim kemarau. Kami kehabisan makanan. Jika kami tidak dapat kebun keledek itu kami akan mati.”
“Oh, serupalah nasib kita. Tanpa kebun keledek itu kita semua akan mati.”
“tetapi sekarang semua kawan-kawan kita sudah pun mati kecuali kita,” balas arnab sedih.
“Selama ni saya tak tahu arnab makan keledek,” ujar tikus.
“Eh, tidak! Kami tidak makan keledek. Kami hanya makan daunnya!”
“Daun? Kami pula makan ubinya! Jadi selama ini kita sama-sama merebut kebun keledek ini tapi untuk bahagian yang berlainan? Kami tikus hendakkan ubinya dan kamu arnab perlukan daunnya.”
“Mengapa baru sekarang kita tahu? Sepatutnya peperangan ini tidak berlaku. Kita sepatutnya berunding bagi mencapai kesepakatan.”
“Ah, malangnya kita sudah terlambat! Semua kawan-kawan kita sudah mati!”
Pengajaran:
Dalam apa jua konflik, rundingan yang harmoni amat perlu untuk menghindarkan berlaku krisis yang lebih besar. Keadaan mungkin boleh berubah menjadi baik sekiranya kita bersikap terbuka dan saling bekerjasama.
No comments:
Post a Comment