Friday, 8 July 2011

Lukisan Cinta 6

TANIA berlari masuk ke dalam kawasan Syurga Ilham Hati. langkahnya terus menuju ke dapur di belakang sambil mengucapkan salam.

“Waalaikumsalam….”jawab Mak Eton dan Kak Min menjawab serentak. Mereka tersenyum menyambut kedatangan Tania yang baru pulang dari sekolah. Tania membalas senyuman mereka lalu melangkah menghampiri Zaiton yang turut menyediakan makan tengahari untuk semua pekerja di Ilham hati,

“Tania dah balik!” Dia berdiri disebelah Zaiton dengan harapan wanita itu akan memeluknya.

Zaiton menoleh lalu tersenyum mesra. Seperti tahu apa yang bermain di fikiran gadis mentah itu, lantas Zaiton menarik Tania dalam dakapannya. Tania tersenyum riang dan membalas pelukan itu dengan erat.

Mak Eton dan Kak Min sudah berpandangan. Mereka merasa tidak senang melihat kemesraan Tania dengan orang asing yang baru melangkah masuk ke Ilham Hati itu.

Zaiton tahu, Mak Eton dan Min tidak menyenangi kehadirannya. Tetapi dia pura-pura tidak mengerti dan terus bermesra dengan Tania di depan mereka. Yang penting, hajatnya untuk terus tinggal di sini dan membawa Amani bersama tercapai.

Mungkin dia kelihatan mementingkan kemewahan dan suka mengambil kesempatan, tetapi niatnya hanya satu. Dia mahu Amani mendapat kehidupan yang sempurna. Dan kehidupan yang sempurna itu dapat di lihat di rumah ini!



TUAN HELMI yang kebetulan baru melintasi dari dapur untuk ke ruang makan malihat kemesraan Zaiton dan anaknya itu. Tak pernah dia melihat Tania begitu gembira seperti sekarang. Nampaknya, anaknya itu sudah begitu akrab dengan Zaiton.

Malah, Zaiton juga kelihatan sangat memberi perhatian pada Tania. Mungkin terlalu awal untuk dia menyatakan demikian. Tetapi senyuman dan kegembiraan yang terpancar di raut wajah Tania amat menyesakkan hatinya. Bagaimana jika Zaiton pergi dari sini? Pasti anaknya itu akan merasa kehilangan untuk kali yang kedua.

Tania tersenyum sambil menatap wajah Zaiton yang sedang tunduk mengeluarkan selumbar yang terkena di tangannya. Sebenarnya dia yang sengaja bermain dengan lalang lalang yang berduri dan melompat-lompat memukul dahan pokok. Memang niatnya sengaja untuk membuat jarinya terluka.

Walaupun jarinya tidak luka dan hanya dimasuki selumbar, namun sudah cukup untuk membuatkan Zaiton memberi perhatian padanya. Alangkah bahagianya jika memiliki Zaiton sebagai ibu!

Moga-moga papa menyedari apa yang tersirat di hatinya. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk mereka membina semula keluarga yang sempurna.



AMANI yang sedang duduk di tangga rumah menangis tersedu sedan. Sudah dua hari Zaiton pergi meninggalkan rumah untuk mencari beg pakaian yang hilang. Tetapi sehingga saat ini Zaiton masih belum pulang.

Malam semakin menunjukkan kelamnya. Seandainya malam ini Zaiton masih tidak pulang, bermakna sudah masuk hari ketiga Zaiton pergi. Airmatanya mengalir.

Dia tidak menyangka Zaiton akan meninggalkannya begini. Sedangkan dia yang selama ini merancang untuk meninggalkan ibunya itu tidak pernah tergamak untuk melakukannya. Sampai hati!

“Kak….” Hafiz yang baru pulang dari mengambil bapa tirinya itu di kedai Ah Chong duduk di sebelahnya sambil melihat Amani menangis.

Kadang-kadang dia kasihankan Hafiz. Baru berusia dua belas tahun namun dia terpaksa bertindak seperti seorang lelaki dewasa. Jalil hanya tahu bermabuk-mabukkan sehingga lupa diri dan Hafiz terpaksa memapahnya pulang apabila Ah Chong menghubungi mereka di rumah untuk mengambil Jalil.

Hafiz yang masih bersekolah sentiasa menjalankan tanggungjawab seorang lelaki dewasa. Selepas pulang dari sekolah, dia akan membantu Jalil mencari barang-barang terpakai untuk dijual seperti surat khabar lama, tin-tin kosong, besi-besi buruk dan lain-lain yang masih berharga.

Wang dari hasil jualan barang-barang terpakai disimpan sedikit untuk belanja persekolahan. Hafiz sentiasa berkata padanya, selepas sahaja dia menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah, dia mahu ke sekolah asrama dan terus keluar dari hidup Jalil. Dia mahu bina hidupnya sendiri dengan wang simpanannya.

Amani menoleh ke belakang melirik Jalil yang sudah pun terlentang dengan botol arak ditangan. Walaupun Jalil seorang lelaki pemabuk dan berserabut, namun apa yang baiknya tentang Jalil dia tidak pernah mengambil wang hasil titik peluh Hafiz.

Tetapi sikap mabuknya itu yang sering ditakuti Amani. Dia khuatir jika satu hari nanti, Jalil yang sering mabuk dan hilang kewarasan itu akan bertindak buruk padanya. Itulah yang paling ditakuti apatah lagi disaat ini dia bersendirian tanpa Zaiton.

“Kakak jangan menangis. Hafiz pasti, Mak Cik Zaiton akan pulang. Dia tak mungkin tinggalkan kakak….” Pujuk Hafiz seperti tahu apa yang bersarang di hati gadis itu.

“Lagi tiga hari,” ujar Amani. “Kalau dalam tempoh tiga hari lagi mak tak balik, akak akan pergi dari sini!” Amani terus melangkah ke dalam meninggalkan Hafiz dengan mulut yang masih terbuka luas.

Belum sempat Hafiz berkata apa-apa Amani sudah pergi. Dia tahu Amani sedang runsing. Tetapi dia yakin Zaiton tidak akan meninggalkan Amani sendirian. Tentu ada sesuatu yang terjadi.

Walau apa pun yang terjadi pada Zaiton, Hafiz percaya wanita itu pasti bisa menanganinya. Dia cukup tahu persis apa wanita bernama Zaiton. Apa yang dikhuatirkannya adalah Amani. Bagaimana sekiranya dalam tempoh tiga hari Zaiton masih belum pulang? Apa akan jadi pada Amani.

Dia tak mahu Amani meninggalkan rumah itu sendirian. Tidak jika tanpa Zaiton. Dia khuatirkan keselamatan Amani. Jika Amani seorang anak lelaki dia tidak kisah. Tetapi Amani seorang gadis yang bisa diambil kesempatan oleh sesiapa jua. Dia perlu menjaga dan memastikan Amani selamat sekurang-kurang sehingga dia berjaya masuk ke sekolah berasrama. Dia tidak punya waktu yang banyak!



No comments:

Post a Comment