“QIS!!” panggil Fauzan yang terlihat kelibat Qismyna meninggalkan pejabatnya. Qismyna menghentikan langkahnya lantas berpaling ke belakang. Fauzan berlari-lari anak menghampiri Qismyna.
“Fauzan. Kenapa?” Qismyna bertanya setelah Fauzan mendekatinya.
“Aku cari kau kat pejabat tak de. Nasib baik aku nampak kau kat sini,” ujar Fauzan yang masih lagi tercungap-cungap keletihan.
“Kenapa kau cari aku?” tanya Qismyna. Fauzan memandang Qismyna.
“Apahal?! Kenapa? Aku tak boleh jumpa kau ke? Kan dah lama kita tak jumpa.” Fauzan mengangkat kening. Qismyna berpaling ke tempat lain.
Entah kenapa sejak Zurin memberitahu perasaan Fauzan padanya dia menjadi kekok dan tidak keruan bila berjumpa dengan lelaki itu. Walaupun dia tidak mempercayai kata-kata Zurin namun kata-kata itu mengganggu hidupnya dan membuat dia menjadi tidak selesa bersama Fauzan.
“Actually....aku ada hal nak bincang dengan kau.” Akhirnya Fauzan memberitahu hajatnya datang tengahari itu apabila melihat Qismyna seakan-akan tidak selesa dengan kehadirannya.
“Hal apa?” tanya Qismyna bila mendengar nada suara Fauzan agak serius.
“Nanti aku jelaskan. Hal ni penting sangat buat aku.” Fauzan masih lagi berharap agar Qismyna setuju untuk meluangkan masa bersamanya. Qismyna masih lagi membisu seperti sedang berfikir. “Please, Qis. Just a few minutes pun tak pelah,” pujuknya lagi. Qismyna memandang Fauzan.
“Jom kita lunch sekali.” Qismyna rasa bersalah jika menolak pelawaan Fauzan. Tak sepatutnya dia merasa tidak selesa pada orang yang banyak menolongnya. Fauzan mengukirkan senyuman apabila Qismyna bersetuju menerima pelawaannya lantas membuka pintu kereta untuk Qismyna.
“Sila masuk tuan puteri. Biar saya drive.” Fauzan cuba berseloroh sambil membuka tapak tangannya meminta kunci dari Qismyna. Qismyna hanya tersenyum sambil meyerahkan kunci keretanya. Fauzan memang begitu. Ke mana saja, dia akan menjadi pemandu sukarelawan.
Dalam perjalanan mereka hanya membisu tanpa sebarang bicara. Hanya sesekali kelihatan Qismyna tersenyum mendengar celoteh DJ radio. Fauzan hanya menumpu perhatiannya pada jalan yang penuh sesak.
Memang mereka berdua kelihatan agak janggal pada hari itu. Seolah-olah mereka adalah orang yang baru mengenali antara satu sama lain. Fauzan sedia maklum penyebabnya kerana Zurin telah menceritakan segala padanya.
Bila difikir-fikir kembali, dia merasakan jalan terbaik adalah berterus terang dengan Qismyna. Soal Qismyna hendak menerima atau menolaknya, itu adalah kehendaknya. Yang penting, dia perlu luahkan apa yang terbuku di hatinya kerana dengan cara itu dia akan tahu apa sebenarnya yang sedang bermain di benak Qismyna.
Sebaik saja sampai di perkarangan Cravon Cafe, mereka berdua berjalan beriringan menuju ke dalam restoran nasi kandar itu. Setelah mengambil lauk dan memesan minuman mereka memilih meja di sudut yang agak jauh dengan orang ramai.
Tanpa bersuara mereka menjamu selera. Fauzan menumpukan sepenuh perhatian pada makanannya tanpa memperdulikan Qismyna di depan. Qismyna kelihatan agak kekok dengan keadaan itu. Sunyi tanpa gurauan. Selalunya, Fauzan gemar berjenaka dan bergurau senda dengannya. Suasana pada hari itu memang berlainan sekali. Sesekali Qismyna melirik pada Fauzan yang asyik menyumbat makanan.
Fauzan menyedari dirinya menjadi perhatian. Sengaja dia berpura-pura tidak tahu. Sebenarnya, dia sedang berfikir ayat yang terbaik untuk memulakan bicara. Dia sendiri merasa tidak selesa dengan keadaan mereka yang hanya membisu.
Selesai menyudahkan makanan, mereka beristirehat sambil menghabiskan minuman yang masih berbaki. Qismyna menundukkan kepala menghirup teh ais kegemarannya. Fauzan melirik sebentar pada gadis itu.
“Qis,” panggilan Fauzan menyebabkan Qismyna mendongak dan membalas pandangannya. “Aku......” kata-katanya mati di situ. Dia cuba meyakinkan diri lagi.
“Kenapa?” Qismyna mula merasa sangsi. Kelakuan Fauzan memang agak aneh.
“Sebelum tu, aku nak mohon maaf banyak-banyak dari kau. Kalau apa yang aku nak cakap ni mengganggu emosi atau buat kau rasa beban atau.......apa-apalah. Aku.....nak minta keluarga aku datang merisik kau.” Qismyna terlopong mendengar kata-kata Fauzan.
“Aku tak paksa kau. Aku beri kau masa. Dalam masa dua minggu, kalau kau tak hubungi aku, maknanya kau menolak lamaran aku. Kalau kau setuju, hubungi aku.”
“Tapi...Fauzan....aku....” Qismyna tak tahu nak berkata apa.
“Please....jangan buat keputusan sekarang. Kau fikirlah masak-masak. Apa saja keputusan kau aku akan terima dengan hati yang terbuka. Apa yang aku perlukan cuma kejujuran dan keikhlasan.”
Qismyna kehilangan kata-kata. Dia terus membisu. Apa yang perlu dilakukannya? Menerima atau menolak? Argh.....masalah ni betul-betul menghimpitnya.
“Qis..... ” panggil Fauzan sekali lagi apabila melihat wajah yang sentiasa ceria itu muram. “Maafkan aku.”
“Jangan cakap macam tu. Kau tak salah apa-apa.” Qismyna cuba mengukirkan senyuman.
“Tapi aku rasa bersalah bila kau muram macam ni,” ujar Fauzan.
“Tak....aku tak apa-apa.” Dia mengukirkan senyuman. “Aku akan fikirkan sebaik mungkin. Demi masa depan kita bersama.”
“Kau tak perlu fikirkan aku. Fikirkan apa yang terbaik buat engkau. Kau mesti ingat. Aku tak memaksa. Buat keputusan secara jujur,” kata Fauzan. Qismyna mengangguk.
‘Fauzan....kau terlalu baik untuk aku.’ Qismyna berbisik di dasar hati.
“Qismyna!” Panggilan itu menyebabkan Qismyna dan Fauzan berpaling. Qismyna kelihatan terkejut melihat kelibat lelaki di hadapannya.
“Qis...?!” Qismyna memandang tepat dan tajam pada lelaki itu. Fauzan terpinga lantas memandang Qismyna dan lelaki itu silih berganti dengan penuh tanda tanya.
QISMYNA mengekori langkah Adam dengan matanya. Dia menghembuskan nafas kekecewaan lalu menghampiri Fauzan semula. Dia kembali duduk di tempat asal.
Fauzan yang hanya memerhati dari jauh sewaktu Qismyna berbicara dengan lelaki itu hanya mendiamkan diri. Pandangan matanya dihalakan kepada gadis itu. Qismyna kelihatan muram dan sedikit tertekan.
“Siapa dia, Qis?” tanya Fauzan. Qismyna yang kelihatan murung itu memandang Fauzan sekilas lalu berpaling ke tempat lain.
“Itulah Adam,” jawab Qismyna dengan suara perlahan.
“Oh.” Fauzan menganggukkan kepalanya lalu menyandarkan badannya ke kerusi. “Kau dengan dia.......” Fauzan tertanya sendiri. Sejak bila Qismyna dan Adam berhubungan semula?
Dia mula berfikir kemungkinan besar Qismyna akan menolak lamarannya. Dia kenal benar sikap Qismyna yang sukar menerima cinta lelaki. Lelaki itu bertuah kerana pernah menerima cinta Qismyna tapi sayang tak tahu menjaga cinta yang dibina. Mungkin saja Qismyna akan menerima kembali lelaki itu.
Dia tahu malah dia yakin Qismyna masih mencintai lelaki itu. Dari pandangan mata, raut wajah dan gerak bahasa, dia tahu cinta Qismyna masih menjadi milik lelaki itu. Dia menghela nafas. Biarlah.....biarlah Qismyna membuat keputusan apa yang baik untuknya. Dia akan menerima dengan hati yang terbuka.
“Kau jangan salah faham, Fauzan.” Qismyna seperti dapat mengagak apa yang tersimpan dalam fikiran Fauzan.
Qismyna mula bercerita mengenai Adam yang tiba-tiba muncul setelah dia pulang Ke Pulau Pinang. Bercerita mengenai lelaki itu yang sedang cuba untuk memenangi hatinya semula.
Dia menceritakan segala-galanya kepada Fauzan. Dari hari pertama mereka berjumpa hinggalah ke saat ini.
Dari cerita Qismyna, Fauzan membuat kesimpulan sendiri. Gadis itu masih menyimpan perasaan pada Adam walaupun sedikit. Tetapi dia yakin, Qismyna tidak akan menerima lelaki itu semula. Dia tersenyum. Dia masih berpeluang untuk bersama gadis itu.
No comments:
Post a Comment