Friday, 8 July 2011

Saat Hati Merelakan 20

QISMYNA menongkat dagunya sambil memandang jauh ke langit gelap yang ditaburi butiran-butiran bintang yang bergemerlapan. Cuba mencari ketenangan dengan menghitung bintang-bintang itu. Namun perkiraannya sering gagal kerana bintang-bintang itu terlalu banyak dan adakalanya dia sendiri tak tahu bintang yang mana sudah dihitung dan yang mana tidak.

Dia mengeluh seketika. Masalah kembali menghimpit akal fikirannya. Tentang Adam dan tentang Fauzan. Untuk memilih Adam sudah tentu tidak baginya. Walau sedalam mana pun sayangnya dia pada Adam, walau sebesar mana pun kemaafan yang diberikan pada Adam, namun untuk kembali bersatu seperti dulu amat mustahil baginya. Dia tidak pernah percaya percintaan kali kedua dengan orang yang sama akan bahagia seperti percintaan diawalnya.

Dan Fauzan? Mana mungkin dia mencintai insan yang telah dianggapnya seperti abang sendiri. Apatah lagi Fauzan adalah sepupunya sendiri. Dia amat terhutang budi dengan Fauzan. Fauzan terlalu baik untuknya. Sentiasa bersama di saat duka dan di saat suka. Lelaki itu juga seperti penyelamat yang sering menyelamatkannya dari susah dan kecewa.

Dia masih ingat lagi. Lima tahun dulu sewaktu Adam meninggalkannya, dia berasa amat kecewa dan akhirnya menyambung pengajian di Johor Bahru. Walaupun dia menjauhkan dirinya dari keluarga hingga tiada siapa pun yang dapat menghubunginya, namun Fauzan yang pada ketika itu berada di Australia sanggup mencarinya di sana.

Fauzan juga sanggup merahsiakan tentang dirinya pada keluarga dan Fauzan juga yang sering memujuknya untuk menghubungi keluarganya sekali-sekala. Walaupun keluarganya tak pernah bersalah atas kekecewaan yang di rasa, namun dia ingin sekali mencari ketenangan tanpa ada hubungan dengan insan-insan yang dikenalinya selama ini.

Fauzan juga banyak menyedarkannya tentang kesilapannya yang menghukum orang-orang yang menyayanginya hanya kerana tewas dengan cinta seorang lelaki yang tidak menghargai dirinya.

Lelaki itu juga sanggup menghabiskan banyak wang untuk ke Johor setiap enam bulan bagi menemui dirinya dan ada kalanya dia akan tiba tiga bulan lebih awal. Dia juga sering menghubunginya. Berkali-kali dia menegah Fauzan untuk berjumpa dengannya di Johor, namun lelaki itu sering berkata dia hanya akan tenang jika melihat sendiri Qismyna dalam keadaan sihat dan selamat.

Fauzan juga tahu hubungannya dengan keluarga Pak Amin dan Mak cik Badariah. Dia juga mengenali Zurin. Hanya mereka sahaja yang tidak pernah diceritakan tentang Fauzan. Enam bulan sekali dia akan bertemu dengan Fauzan tanpa pengetahuan mereka.

Qismyna mengeluh sebentar. Tak terhitung rasanya budi yang ditaburkan Fauzan untuknya. Tapi....perlukah dia menerima Fauzan kerana terhutang budi pada lelaki itu.

‘Apa saja keputusan kau aku akan terima dengan terbuka. Apa yang aku perlukan cuma kejujuran dan keikhlasan.’ Tengiang-ngiang kata-kata itu ditelinganya. Jika saja Fauzan tidak minta keikhlasan dan kejujuran darinya pasti dengan pantas dia akan menerima lelaki itu kerana terhutang budi padanya.

Namun dia tidak sanggup untuk menolak permintaan Fauzan walaupun lelaki itu tidak memaksa dirinya untuk diterima. Apa yang perlu dilakukan? Qismyna mengeluh lagi. Dia memegang dahinya dengan kedua-dua belah tangannya lalu memejamkan mata. Cuba untuk berfikir keputusan yang terbaik.

“Kak,” Tiba-tiba bahunya disentuh. Qismyna mengangkat kepala melihat Zurin disebelahnya lalu mengalihkan semula pandangannya pada bintang-bintang di langit. “Kenapa kak? Masih belum buat keputusan?” tanya Zurin yang mengetahui apa yang berlaku.

Hanya pada Zurin sahaja Qismyna menceritakan masalahnya. Keluarganya yang lain masih belum mengetahui Fauzan melamarnya. Fauzan juga menyembunyikan perkara itu dari kedua orang tuanya.

“Akak tak tahulah Zurin. Akak tak tahu nak buat apa,” ujar Qismyna hampa.

“Kak, Zurin bukan nak memaksa akak. Tapi bagi Zurin kebahagiaan hanya akan kita perolehi pada orang yang menyayangi dan menghormati kita. Belum tentu lagi kita akan hidup bahagia dengan orang yang kita sayang,” ujar Zurin ikhlas.

“Zurin nak sangat akak bersatu dengan abang Fauzan. Tentu mak cik dan pak cik gembira. Apatah lagi mak cik memang berharap sangat abang Fauzan jadi menantu dia.” Qismyna terkedu dengan kata-kata Zurin.

“Apa maksud Zurin?”

“Sebenarnya kak. Mak cik selalu cerita tentang hubungan baik akak dengan abang Fauzan. Mak cik selalu ceritakan kebaikan abang Fauzan dan impiannya untuk satukan akak dan abang Fauzan,” cerita Zurin. Qismyna mengetap bibir. Dia tidak menyangka emaknya ada menyimpan impian seperti itu. Mungkin Fauzan melamarnya kerana ingin menyempurnakan hasrat emaknya. Mungkin juga emaknya meminta agar lelaki itu mengahwininya. Ya, dia tahu Fauzan seorang lelaki yang baik dan sentiasa patuh pada keinginan orang tua walaupun terpaksa mengenetepikan perasaannya.

“Abang Fauzan melamar akak kerana permintaan dari emak?” tanya Qismyna pada Zurin. Manalah tahu Zurin mengetahuinya. Zurin mengerut keningnya. Tidak menyangka Qismyna mengesyaki cinta Fauzan padanya.

“Tak kak. Mak cik tak pernah suarakan hasrat dia pada abang Fauzan sepertimana dia rahsiakan dari akak,” ujar Zurin tenang. “Sebenarnya, untuk pengetahuan akak. Abang Fauzan dah lama sayangkan akak. Sejak dari kecil lagi dia dah pasang angan-angan untuk hidup dengan akak suatu hari nanti.”

“Macam mana Zurin tahu semua ni?” Qismyna keliru.

“Setiap kali kita keluar bertiga. Abang Fauzan selalu cerita tentang akak. Setiap kali dia cerita pasal akak, Zurin lihat dia selalu gembira. Dari situlah Zurin dapat rasakan yang dia sayangkan akak. Bila Zurin tanya dia mengaku dia sayangkan akak sejak dari kecil lagi. Tapi bila Zurin tanya kenapa dia tak pernah berterus terang dengan akak. Akak tahu dia jawab apa?” Zurin memandang Qismyna. Qismyna memandang Zurin kembali.

“Kata dia cinta akak bukan untuk dia. Akak tak pernah cintakan dia. Tapi dia tak kisah. Dia bahagia bila akak bahagia. Dia susah hati bila akak kecewa. Dia tak mahu paksa akak. Kalau akak cintakan dia, akak akan dapat lihat cinta dia untuk akak,” sambung Zurin.

“Kerana simpati pada abang Fauzan, Zurin cuba sedarkan akak tentang cinta abang Fauzan pada akak. Maafkan Zurin. Zurin tahu Zurin bukan siapa-siapa tapi.... Zurin tak pernah lihat cinta yang begitu murni seperti ni. Kalau mak cik dan pak cik sanggup rahsiakan impian mereka kerana tak mahu memaksa akak, kalau abang Fauzan sanggup rahsiakan isi hatinya untuk menjaga perasaan akak, apa akak tak boleh berkorban sedikit pun untuk melihat mereka bahagia?”

Kata-kata Zurin itu benar-benar menusuk hingga ke tangkai hatinya. Baru dia sedar betapa dia terlalu mementingkan diri sendiri selama ini. Begitu besar pengorbanan orang lain untuknya. Dia benar-benar rasa bersalah.

Tanpa disedari Qismyna menitiskan airmata. Dia tidak dapat menahan rasa sebak di dadanya. Zurin di sebelah menarik bahu Qismyna lantas memeluk kakak angkatnya itu.

Zurin turut menitiskan air matanya. Tanda bersimpati terhadap perasaan Qismyna. Air matanya juga tanda kecewa kerana terpaksa melupakan cinta pertamanya.

ZURIN melangkah longlai ke dalam biliknya. Dia meniarap di atas katil. Dia mencapai bantal peluknya lalu mendakapnya erat. Dia menangis teresak-esak. Walaupun dia gembira kerana akhirnya Maya bersetuju menerima Fauzan, namun hatinya sedih kerana cinta yang bersemadi dilubuk hati masih tebal pada lelaki itu.

Namun kerana terhutang budi pada Qismyna sekeluarga, dia harus melupakan perasaannya dan sentiasa melakukan yang terbaik agar semua mereka gembira. Dia tahu, Fauzanlah insan yang paling gembira jika Qismyna menerimanya. Dia juga akan bergembira dengan kegembiraan yang dikecapi Fauzan walaupun dia kecewa.

No comments:

Post a Comment