Monday, 4 July 2011

Saat Hati Merelakan 13

QISMYNA membuka daun pintu kamar tamu dan menjengok ke dalam. Matanya liar mencari Zurin. Namun, kelibatnya tak kelihatan. Bilik itu telah kemas dan bersih. Mungkin Zurin telah lama bangun dari tidur. Lantas Maya menutup daun pintunya semula.

Telah hampir seminggu Zurin tinggal bersama mereka di Pulau Pinang. Tuan Malik dan Puan Suria menerima Zurin sebagai anak angkat memandangkan Zurin adalah satu-satunya anak tunggal arwah Puan Badariah dan Encik Amin yang telah meninggal dunia. Kerana simpati pada Zurin yang tidak mempunyai saudara mara lain dan juga terhutang budi pada keluarga Encik Amin, maka Zurin diambil sebagai anak angkat.

Qismyna menuruni anak tangga dan menuju ke dapur. Kelihatan Zurin sedang membantu Mak Yam menyediakan sarapan pagi. Perkara itu sudah biasa bagi Zurin. Sebagai seorang anak gadis, Zurin memang pandai menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan rumahtangga.

“Assalamualaikum.” Qismyna memberi salam. Mak Yam dan Zurin yang sedang berbual sambil memotong sayur berpaling memandangnya sambil menjawab salam.

“Cik Qis....”

“Kakak.....” tegur Zuril. Qismyna tersenyum lalu melabuhkan punggung di sisi mereka.

“Masak apa hari ni?” tanya Qismyna.

“Ini untuk makan tengahari nanti,” ujar Zurin sambil menunjukkan sayur ditangannya. “Sarapan hari ni, telur rebus setengah masak dengan roti bakar.”

“Hmm......sedap tu,” Maya mengangkat kening. “Ayah dengan mak dah turun?”

“Belum,” jawab Zurin ringkas.

“Tuan Malik dan Puan keluar Cik Qis,” beritahu Mak Yam. “Kalau Cik Qis nak sarapan, ada di meja depan.”

“Keluar?” Qismyna mengerutkan keningnya. Kemudian dia melirik jam ditangannya. Hampir jam tujuh pagi. “Ke mana pagi-pagi macam ni?”

“Entahlah cik. Tak de pun diorang cakap apa-apa dengan Mak Yam. Pergi jogging agaknya.......”

“Mungkin juga. Tak pelah Mak Yam,” ujar Qismyna sambil menggosok-gosok dagunya.

“Kakak tak nak sarapan ke?” tanya Zurin.

“Zurin dengan Mak Yam dah sarapan?” Qismyna bertanya kembali.

“Kitorang dah sarapan kak.”

“Habis tu, tak kan kakak nak sarapan sorang-sorang pulak.” Qismyna mengeluh. “Tak pelah. Kakak pun tak lapar lagi ni.” Qismyna bersuara. “Mak Yam, ada apa-apa nak tolong?”

“Cik Qis nak tolong ke?” Mak Yam bertanya. Seingatnya sejak Qismyna pulang, dia tak pernah menjejakkan kakinya ke dapur apatah lagi nak menolongnya. “Kalau Cik Qis nak tolong, Cik Qis tolong potong sayur ni. Halus-halus tau.” Mak Yam menyerahkan pisau dan tempat pemotong kepada Qismyna. Qismyna menyambut.

Qismyna melirik ke arah Zurin sebentar lalu mengambil beberapa helai sayur bayam digulung dan diletakkan atas tempat pemotong. Dengan lancar dia memotong sayur itu halus-halus. Mak Yam yang sedang menyiang ikan di sinki, melirik ke arah Qismyna dan kemudian berpaling kembali melihat ikan ditangannya.

Tanggapannya silap. Sangkanya Qismyna akan rasa kekok melakukan kerja-kerja dapur. Tapi lancar saja dia melakukannya.

“Mak Yam ingatkan Cik Qis tak pandai nak potong sayur.” Mak Yam mengeluarkan isi hatinya. Qismyna mendongak memandang Mak Yam.

“Kenapa Mak Yam rasa macam tu?” pertanyaan Qismyna membuatkan Mak Yam terhenti kerjanya lalu menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Qismyna.

“Maafkan Mak Yam sebab rasa Cik Qis tak tahu masak. Cik Qis jangan kecil hati pulak. Iyelah......semasa Encik Fauzan makan malam di sini pun, dia yang tolong Mak Yam, cuci pinggan, angkat hidang. Macam-macam lagilah dia tolong Mak Yam,” ujar Mak Yam dengan rasa bersalah.

“Tak de apalah Mak Yam. Saya tak rasa apa pun. Tapi...saya memang tak pandai masak pun. Setakat nak tolong-tolong tu...bolehlah.” Qismyna tersenyum. Ya...dia tahu dia memang jarang ke dapur. Kalau nak dibandingkan dengan Fauzan, kalah dia!

“Ha....kalau Mak Yam nak tahu, waktu di Johor dulu, Kak Qis ni rajin ke dapur tau!” beritahu Zurin. “Tapi itu pun setakat potong sayur, siang ikan. Kalau masak, hampeh!” dia ketawa. Qismyna menepuk bahu Zurin sambil ketawa kecil.

“Siapa Fauzan tu kak?” tanya Zurin setelah tawanya reda. Qismyna melirik ke arah Zurin sebentar lalu tersenyum.

“Kenapa?” tanya Qismyna nakal.

“Saja nak tau.” Zurin bersuara perlahan kerana merasa malu. Qismyna tersenyum sinis.

“Fauzan tu sepupu kakak. Tua enam tahun dari kakak. Kalau dengan Zurin, beza sepuluh tahun. Okeylah tu. Zurin boleh anggap dia macam abang sebab kakak pun anggap dia macam abang kakak. Tapi kalau nak lebih pun, tak de masalah sebab dia masih belum berpunya.”

“Apalah kak ni! Ke situ pulak.” Wajahnya bertukar merah. “Tapi takkanlah orang baik macam abang Fauzan tu tak de yang punya.” Qismyna megerutkan dahinya lalu memandang Zurin.

“Macam mana Zurin tau abang Fauzan tu baik sedangkan Zurin tak pernah kenal dia?” tanya Qismyna. Zurin terdiam sebentar. Dia sendiri pun tak tahu macam mana ayat tu boleh terkeluar dari mulutnya.

“Tak......Zurin agak je,” balas Zurin lambat-lambat. “Tadi....kan Mak Yam ada cakap abang Fauzan suka tolong dia di dapur. Tentulah dia baik. Kalau tak takkan dia sanggup ke dapur tolong Mak Yam.”

“Macam nilah hakikat dunia, Zurin. Masyarakat dari dulu sampailah sekarang hanya pandang rupa. Kalau cantik, segak, orang suka. Kalau tak de rupa, tak de harta, tak de siapa yang sudi dekat.” Mak Yam dan Qismyna berpandangan lalu tersenyum.

“Jadi sepupu kakak ni tak handsomelah?” Zurin mengagak.

“Petang ni, kakak nak round island. Zurin nak ikut?” tanya Qismyna tanpa menjawab soalan Zurin tadi.

“Nak!” Zurin mengangguk laju.

Qismyna mengangkat sayuran yang telah dipotongnya ke dalam sinki untuk di basuh Mak Yam.

“Mak Yam tolong sambung, ek. Saya nak naik kejap.” Qismyna bangun lalu memanjat anak-anak tangga dengan perlahan. Matanya memandang Zurin yang sedang tersenyum sendiri. “By the way, abang Fauzan pun ada jugak tau.” Qismyna tersenyum lalu berlari anak ke tangga atas.

Zurin mengerling. Terasa malu pulak dengan Mak Yam yang tersenyum di depannya.



ZURIN berbaring di atas katil sambil fikirannya merawang-rawang memutarkan kembali kenangan petang tadi sewaktu Qismyna dan Fauzan membawanya berjalan-jalan. Jari telunjuknya memintal-mintal hujung rambutnya yang panjang melepasi bahu. Sejak arwah ibu dan ayahnya pergi, inilah pertama kali dia mampu tersenyum secara ikhlas tanpa perlu menyembunyikan perasaannya.

Pertama kali melihat Fauzan dia terpegun. Lidahnya kelu untuk mengeluarkan kata sewaktu Fauzan menghulurkan salam perkenalan. Fauzan bukanlah seorang lelaki seperti yang disangkanya. Dia seorang lelaki yang sangat kacak. Berkulit sawo matang dan rambutnya yang lurus dibelah tengah.

Selepas menunaikan fardhu Asar, mereka bertiga bertolak ke Batu Feringgi. Tempatnya cantik dan bersih. Pasir-pasir yang terkena pancaran matahari kelihatan bagai kaca-kaca yang berkilauan. Air lautnya yang membiru dan sesekali kedengaran ombak menghembas batu dengan kuat. Angin bertiup kencang melayang-layang rambut mereka. Memang asyik berada di sana apatah lagi waktu melihat matahari yang hampir terbenam. Keadaan bertukar menjadi kelam dan berwarna jingga. Pada waktu itulah mereka bertolak untuk pulang melalui Pulau Betong, tempat persinggahan keluarga untuk bersantai.

Walaupun tidak sempat untuk melawat seluruh Pulau Pinang kerana masa tidak mengizinkan ekoran daripada mesyuarat yang terpaksa dihadiri Fauzan, dia tetap berpuas hati dapat mengenali lelaki itu lebih dekat. Fauzan bukan sahaja seorang lelaki yang baik dan melayaninya dengan sopan dan penuh dengan gurauan, tetapi dia juga memiliki wajah dan tubuh yang sasa yang mampu membuatkan semua bidadari dunia tunduk padanya.

Dia mengeluh seketika. Peristiwa petang tadi terlalu cepat berlalu. Hingga dirasakan tidak puas untuk menatap wajah itu. Ingin saja dia meminta Fauzan singgah sebentar di rumah sebelum pulang, namun malu rasa di hati ingin berbuat demikian. Apatah lagi dia hanya menunpang di rumah besar itu.

Tapi jauh di sudut hati menyimpan seribu perasaan gembira apabila Fauzan berjanji untuk membawanya berpusing melihat seluruh Pulau Pinang pada hujung minggu nanti. Tak sabar rasa di hanti ingin berjumpa dengan lelaki itu lagi.

Seketika kemudian dia mengalihkan tubuhnya di sisi kiri. Bibirnya mengukirkan senyuman. Ahh.....kalaulah Qismyna tahu apa yang tersirat di hati kecilnya, malu besar. Seketika kemudian dia teringatkan Ariff, abang kandung Qismyna yang sesekali dilihatnya di rumah itu. Kononnya, Ariff ulat kerja. Kerana itulah dia jarang berjumpa dengan Ariff.

Ariff juga seorang lelaki yang kacak. Tinggi, bertubuh tegap dan berkulit hitam manis. Jika dibandingkan dengan Fauzan, Ariff lebih tampan sedikit. Tapi, Ariff agak pendiam dan kurang bercakap walaupun sentiasa tersenyum. Berlainan sekali dengan Fauzan yang sentiasa di penuhi dengan gurauan dan usikan. Ahh......dia benar-benar sudah jatuh cinta. Ya.....sebelum bertemu dengan Fauzan lagi dia sudah jatuh cinta dengan lelaki itu.

Mak Yam sering kali bercerita tentang penghuni rumah besar itu termasuklah keluarga Fauzan, satu-satunya saudara yang paling dekat dengan mereka. Dari cerita-cerita Mak Yamlah dia mengenali Fauzan dan sekali gus jatuh cinta pada lelaki itu.

Kalaulah dia tahu..........

No comments:

Post a Comment