Monday, 4 July 2011

Saat Hati Merelakan 16

MANISA duduk di birai katil. Dia kaku di situ sebentar lantas dia meletakkan badan di atas tilam. Fikirannya masih tak menentu dek peristiwa petang tadi. Dia betul-betul tidak menyangka dengan apa yang dah berlaku. Adakah salahnya? Atau salah Wes? Dia mengeluh seketika. Dia pasti dia tidak salah, tapi kenapa dia harus rasa bersalah?

Dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas kepala. Berfikir sebentar. Dan kemudian mengenangkan kembali kejadian yang berlaku petang tadi.

Petang tadi dia berjalan-jalan di sekitar Bukit Jambul. Kerana terlalu bosan berjalan seorang diri, lantas dia menelefon Ariff. Sekadar untuk berbual-bual. Setelah menyatakan kebosanannya, Ariff mencadangkan agar dia ke HappyWebCafe.

Setelah menamatkan perbualan dengan Ariff, dia terus ke HappyWebCafe seperti yang dicadangkan Ariff. Sedang dia berjalan-jalan dia ternampak kelibat Wes yang sedang berbual dengan seorang gadis. Kelihatan seperti mereka sedang bertengkar. Kerana perasaan ingin tahu bersarang di sanubari, lantas dia menghampiri mereka berdua. Sebaik saja melihat Manisa, Wes kelihatan terkejut.

“Apa awak buat kat sini? Siapa perempuan ni?” tanya Manisa. Wes tergamam sebentar. Perempuan yang dilihatnya bersama Wes sebentar tadi menghilangkan diri.

“Jom! Ikut saya!” Wes berlalu dan Manisa mengekori langkah Wes. Wes memandu laju tanpa menghiraukan pertanyaan demi pertanyaan yang dilemparkan Manisa. Sebaik saja sampai di sebuah gerai dipersimpangan jalan Kampung Seronok, lantas Wes meletakkan keretanya di tepi jalan.

Mereka keluar dari perut kereta dan menuju ke gerai yang cukup terkenal dengan mee rebusnya yang enak. Setelah memesan dua pinggan mee rebus dan dua gelas air, Manisa kembali mengutarakan soalan yang sama.

“Siapa perempuan tu?” Wes mengeluh sebentar sebelum menjawab pertanyaan Manisa.

“Saya rasa dah tiba masanya saya beritahu awak perkara yang sebenarnya,” ujar Wes. “Saya tak cintakan awak, Manisa. Saya terima awak pun sebab orang tua kita,” Wes berhenti sekejap. “Maafkan saya. Saya tak bermaksud nak lukakan atau permainkan awak. Tapi.....kita tak sesuai bersama.” Manisa mengetap bibir mendengar kata-kata Wes.

Dia tidak tahu mengapa Wes sanggup melakukannya sedemikian rupa. Dia menerima Wes dalam hidupnya juga bukan kerana cinta. Tapi, kehendak orang tua. Setelah dia ditunangkan dengan Wes, sedaya upaya dia membina cinta dalam hatinya untuk Wes. Walaupun adakalanya cintanya itu bagai sembilu yang menghiris hati dengan layanan yang diterimanya.

“Perempuan tadi ialah bekas kekasih saya. Saya tinggalkan dia kerana awak. Tapi saya tak boleh lupakan dia.”

“Sebab tu awak datang ke sini? Untuk berjumpa dengan dia dan membelakangi saya?!” tanya Manisa dengan peraan marah di hati. Dia menggeleng kepala kesal. Kata-kata Wes bagai menghiris tangkai hatinya.

“Sebelum bertunang dengan awak, saya langsung tak kenal siapa awak. Nak jatuh cinta? Sorry........tapi kerana keluarga kita, saya terima awak. Saya belajar sayangkan awak. Tapi apa yang saya dapat? Nothing!.” Manisa menangkup mukanya dan kemudian memandang wajah Wes semula.

“Kalau saya mengganggu hidup awak, saya minta maaf. Tapi, awak sepatutnya beritahu saya awal-awal kalau saya ni cuma beban untuk awak.” Manisa terus berlalu dari situ tanpa menyentuh makanan yang dipesan.

Manisa menghembus nafasnya lagi. Sejak pulang dari bertemu Wes entah berapa kali dia menghembuskan nafas kekesalan. Menyesali apa yang berlaku dan tertanya-tanya pada diri. Adakah dia yang bersalah? Dia mengeluh untuk sekian kalinya.

Memang benar, sebelum ini Wes pernah memberitahunya yang Wes tidak menyintainya. Tetapi, Wes tidak pernah memberitahu cintanya telah diserahkan kepada perempuan lain.

Seandainya Wes berterus terang dari awal, tentu sahaja perkara begini tidak akan berlaku.





BUAT pertama kalinya Wes merasa perasaan bersalah wujud dalam dirinya pada Manisa. Sejak dahulu, dia sentiasa menyalahkan Manisa kerana hadir dalam hidupnya. Dan sekian kalinya dia merasa Manisa tidak layak untuknya. Manisa tidak mampu membahagiakannya. Dia sentiasa hidup dalam bayangan silam cinta Farahymma. Sentiasa mengharap cinta itu kembali lagi.

Dan buat pertama kali juga, dia melihat Manisa begitu marah dan serius dalam percakapannya. Tidak seperti hari-hari lain. Dia sentiasa ingin dibelai dan tutur katanya begitu manja hingga membuatkan Wes kadang-kala merasa geli dengan kemanjaannya.

Wes mengeluh. Dia menguakkan rambutnya ke belakang. Adakah Manisa yang bersalah atau dia yang menjadi puncanya? Dia yang bersalah kerana menerima Manisa tapi tidak mampu untuk membahagiakan Manisa. Argh.......dia mengeluh lagi. Bukan dia tidak cuba, tapi...... dia menjadi keliru sendiri. Tertanya kembali. Diakah yang bersalah atau takdir yang menentukan segalanya? Mungkin kerana hati yang tidak ikhlas menyebabkan segalanya menjadi tak keruan. Benarlah......melakukan sesuatu tanpa kerelaan, takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.



ARIFF menekan punat-punat telefon. Mendail nombor Manisa. Hatinya menjadi keruan. Sedari tadi dia menghubungi Manisa namun tetap tidak dijawab. Dia mula resah. Bimbang sesuatu yang tidak diingini menimpa gadis itu.

Dia menuruni anak-anak tangga lalu menuju ke dapur. Kelihatan Qismyna dan Zurin sedang berbual-bual dengan Mak Yam sambil menyediakan makan malam. Qismyna dan Zurin mengalih pandangan pada Ariff. Ariff kelihatan risau dan tidak tentu arah.

“Kenapa abang?” tanya Qismyna.

“Mak mana?” tanya Ariff kembali tanpa menjawab soalan Qismyna.

“Mak dengan ayah keluar. Ada kenduri di masjid,” beritahu Qismyna.

“Petang tadi, ada tak kawan abang datang ke cafe Qismyna?” soal Ariff lagi. Qismyna menggeleng.

“Kawan yang abang ceritakan tu?” tanya Qismyna kembali. Ariff mengangguk. “Qismyna ada tunggu dia tadi. Tapi, tak de orang pun yang cari Qismyna kecuali......” Qismyna terdiam. Dia teringat semula peristiwa petang tadi di mana Adam datang berjumpa dengannya. Dan kemudian, muncul Rina sehingga mencetuskan pertengkaran di antara mereka.

“Kecuali apa kak?” tanya Zurin menyampuk.

“Kawan kakak,” jawab Qismyna. “Entahlah abang....Qis sendiri pun tak pernah jumpa kawan abang tu. Mungkin dia datang tapi tak cari Qis. Manalah tahu.” Qismyna mengagak. “Tapi kenapa abang nampak risau sangat?”

“Abang call dia banyak kali tapi tak de balasan. Abang risaulah.” Ariff bersuara cemas.

“Kawan Abang Ariff tu......lelaki ke.... perempuan?” tanya Zurin lambat-lambat. Bimbang bercampur segan kerana masih belum mengenali Ariff dengan rapat walaupun telah menetap di rumah itu hampir tiga bulan lamanya.

“Perempuan.” Ariff menjawab perlahan. Zurin mengangguk sambil mengangkat keningnya.

‘Ni mesti kes cinta,’ detik hati kecil Zurin sambil tersenyum.

“Abang Ariff pergilah cari dia kat tempat yang selalu dia pergi,” balas Zurin. Ariff memandang Zurin. Benar juga apa yang dikatakan Zurin. Tanpa bercakap lebih panjang, Ariff bangun dan terus memecut keretanya.

Qismyna memerhatikan Ariff yang tergesa-gesa meninggalkan rumah. Kemudian di mengerling Zurin di depannya.

“Hai.......macam ada pengalaman je....” usik Qismyna. Zurin ketawa kecil.

“Adalah sikit. Tapi tak pernah bercinta.”

“Macam mana tu? Ada pengalaman tapi tak pernah bercinta?” Qismyna keliru. Zurin ketawa lagi.

“Kakak ni! Tak semestinya kita kena bercinta dulu baru ada pengalaman.” Qismyna termangu seketika. Benar juga kata Zurin. Adakalanya pengalaman cinta orang sekeliling juga boleh memberi pengalaman pada kita.

Pengalaman cintanya dengan Adam, bahagianya hanya bertahan seketika. Tetapi luka yang ditinggalkan bertahun-tahun lamanya untuk disembuhkan. Mungkin dia yang bodoh kerana menyanjungi Adam tanpa ada batasan. Walaupun percintaan mereka hanya bertahan selama dua tahun, namun Adam adalah cinta pertama dan terakhir untuknya.

Tetapi semenjak dua menjak ini perasaannya pada Adam semakin menipis. Adakah cintanya pada Adam kian hilang? Dia sendiri tak pasti dengan perasaannya kini.

Yang pasti, hati kecilnya sering merasa tak selesa setiap kali berjumpa dengan Adam.

Mungkinkah ini petanda cinta di hatinya kian pudar untuk lelaki itu? Dan adakah itu bermaksud dia perlu membuka pintu hatinya untuk insan lain?



MANISA menarik nafasnya yang agak tersangkut-sangkut. Dia menyeka airmatanya yang mengalir. Bahunya disentuh lembut. Lantas dia berpaling ke belakang. Ariff tersenyum padanya. Pantas dia mengalih pandangannya ke depan semula. Khuatir matanya yang merah dilihat lelaki itu.

Ariff melabuhkan punggungnya di sebelah. Dia gembira kerana berjumpa Manisa di situ. Jangkaannya tepat. Manisa berada di Persiaran Gurney, tempat pertama kali mereka berjumpa. Namun kegembiraannya bertukar kerisauan apabila melihat keadaan Manisa. Gadis itu menangis. Tapi kenapa?

“Kenapa ni?” Ariff bersuara sambil memandang nun jauh kepekatan malam yang hanya kelihatan lampu-lampu di seberang. Walaupun tidak dapat menangkap keindahan pantai, namun deruan ombak masih kedengaran.

Pertanyaan Ariff masih tiada balasan. Manisa disebelah hanya membisu. Ariff mengalihkan kedudukannya mengadap Manisa. Manisa hanya menunduk dan sesekali kedengaran nafasnya ditarik. Ariff memberanikan diri untuk menyentuh tangan Manisa.

“Apa masalahnya?” Ariff bertanya lembut. Seketika kemudian Manisa mengangkat kepala sambil menitiskan airmata.

“Maafkan saya kerana membohongi awak,” ujar Manisa dalam sedu sedannya. Ariff kehairanan. Apa yang dimaksudkan Manisa? “Saya dah bertunang.”

Bagaikan kejutan elektrik, pantas Ariff menarik tangannya yang memegang tangan Manisa. Dia mengalihkan tubuhnya ke depan. Dia terpempam seketika. Dia tidak menyangka sama sekali Manisa sanggup permainkan rasa kasih yang bersarang di sanubari. Kenapa gadis itu tidak berterus terang dari awal sebelum tunas kasih dalam dirinya bercambah menjadi bunga cinta?

“Kami bertunang kerana kehendak keluarga. Bukan kerana cinta.” Manisa mula bercerita tentang kisahnya pada Ariff. Bermula dari pertunangan mereka hinggalah peristiwa petang tadi. Ariff mendengar penuh teliti. Dia mula merasa kasihan dengan nasib yang menimpa Manisa.

“Saya dah buat keputusan,” ujar Manisa. “Saya akan putuskan pertunangan kami. Demi untuk kebahagiaan masing-masing. Saya tak sanggup lagi nak pertahankan hubungan yang hanya pada nama.”

“Awak dah fikir masak-masak?” tanya Ariff. Dia tidak mahu Manisa membuat keputusan dan akhirnya akan menyesali keputusan yang dibuat.

“Dah lama saya fikirkan. Cuma...saya ragu-ragu bila teringatkan keluarga kami. Tapi saya yakin....keputusan inilah yang terbaik.” Manisa bersuara yakin.

“Macam mana kalau dia....maksud saya, tunang awak nak kembali pada awak?”

“Tak mungkin. Saya tak pernah cintakan dia walaupun setiap hari saya setia pada dia,” balas Manisa. Memang benar, sejak dari dulu dia tidak mengasihi Wes tetapi sentiasa menyelitkan rasa setia pada lelaki itu.

“Dia juga tak pernah menyintai saya. Dia cintakan perempuan lain.”

“Habis tu, kenapa awak sedih sangat?” tanya Ariff yang masih belum dapat membaca apa yang tersirat di hati kecil itu.

“Saya sedih bukan kerana dia tak cintakan saya. Saya sedih kerana kesetiaan saya hanya sia-sia. Kalau dari dulu saya ikut kata hati saya, tentu sekarang banyak perubahan dalam hidup saya.”

“Manisa,” panggil Ariff lalu menggenggam erat tangan gadis itu. Cuba menenangkan gadis itu yang masih dibawa perasaan.

“Selepas awak putuskan pertunangan awak, saya nak ambil awak sebagai isteri saya yang sah. Awak setuju?”

Dia tahu lamarannya adalah di masa yang tidak sesuai. Namun dia tidak sanggup lagi untuk memendam perasaannya yang semakin lama semakin berbunga untuk gadis itu.

“Saya tidak memaksa. Saya pun tak mahukan jawapan sekarang. Awak fikirlah selama mana yang awak mahu. Saya akan menunggu.”

Manisa memandang Ariff dengan seribu perasaan. Matanya bertentang mata Ariff. Bersinar mata itu mengambarkan betapa dia tidak menyangka Ariff ikhlas padanya. Bunga-bunga cinta kian mekar di hati. Manisa tersenyum lalu mengangguk. Melihatkan anggukan Manisa, Ariff tersenyum lantas menarik bahu Manisa merapatinya.

No comments:

Post a Comment