Monday, 4 July 2011

Saat Hati Merelakan 15

SEORANG wanita tua menghampiri kaunter bakery. Linda yang kebetulan pada hari itu ditugaskan untuk menjadi juruwang dan mengambil pesanan, melemparkan senyuman mesra pada wanita itu. Dia melihat di tangan kanan dan kiri wanita itu memegang beberapa beg plastik yang berisi buku-buku latihan. Mungkin saja wanita tua itu baru saja keluar dari stationary shop.

“Boleh saya bantu, mak cik.” Linda berbahasa.

“Apa yang ada di sini?” Wanita itu melirik pada pastries yang disediakan. “Roti saja ke?”

“Ya. Di sini kami cuma menjual pastry saja,” ujar Linda lembut. “Kalau mak cik nak makanan berat, dekat depan kedai sana ada gerai. Macam-macam ada. Sedap-sedap pulak tu.”

“Kalau macam tu, tak apalah, nak. Bagi Mak cik roti coklat tu dua dan roti keju dua.” Dia menunjuk-nunjuk roti yang dimaksudkannya.

Linda mengambil dan menbungkus roti-roti tersebut dan dimasukkan ke dalam beg plastik. Setelah wanita tua itu membayar harga yang ditetapkan, Linda menyerahkan bungkusan plastik tersebut sambil mengucapkan terima kasih.

Qismyna yang kebetulan baru tiba di cafe menghampiri terus melangkah menghampiri Linda.

“Selamat tengah hari Cik Qis,” tegur Linda. Qismyna tersenyum.

“Selamat tengah hari,” ucap Qismyna kembali. Dia memandang sekeliling. “Eh, awak, Mie dan Razin saja? Lan mana?” tanyanya sambil memandang sekeliling.

“Lan MC hari ni Cik Qis. Cirit birit,” beritahu Linda.

“Salmi dah tahu?”

“Dah. Salmi yang beritahu saya tadi,” kata Linda. “Kejap lagi, Sofea sampailah. Dia akan gantikan Lan.” Qismyna mengangguk mendengar kata Linda.

“Lambat Cik Qis datang hari ni,” tegur Linda kerana semua kakitangan di situ sedia maklum yang Qismyna sentiasa berada di cafe dari jam sembilan pagi untuk menyemak semua laporan di pejabatnya.

“A’ah.....Saya ada hal pagi tadi,” beritahu Qismyna. “Tak pelah, sementara tunggu Sofea biar saya gantikan,” ujar Qismyna. Qismyna melangkah ke dapur belakang dan sebentar kemudian melangkah ke depan kembali. “Mana apron yang selalu Lan guna?”

“Belakang pintu,” ujar Linda. Qismyna terus mengambil apron ditempat yang dimaksudkan. Apron yang bewarna merah itu dikenakan di badan. Kemudian, dia ke dapur menolong Mie membakar roti. Razin pula sedang menguli tepung. Sedang dia asyik menolong Mie dan Razin, muncul Linda di situ.

“Kenapa?” tanya Qismyna.

“Ada orang nak jumpa Cik Qis.”

“Siapa?” dahinya dikerutkan.

“Entah.” Linda mengangkat bahu.

Qismyna menuju ke luar dengan tangan dan bajunya dipenuhi serbuk-serbuk tepung. Dia tergamam sebaik saja melihat lelaki di hadapannya. Lelaki itu memerhatinya dari atas ke bawah dan kemudian ke atas semula.

Kerana tidak mahu menimbulkan masalah, Qismyna mendekati Adam dan mengajaknya ke sebuah meja yang terletak di sudut hujung bakery itu. Adam membontoti gadis itu.

“Awak nak apa datang cari saya kat sini?” soal Qismyna perlahan tapi keras. Dia tidak mahu jika ada di antara pekerjanya yang mendengar perbualan mereka.

“Nak jumpa dengan awak,” balas Adam. “Dah lama saya cari awak. Hari ni baru saya jumpa. Berilah peluang pada saya. Biar saya jelaskan......”

“Peluang? Peluang apa yang awak nak. Saya dah beri peluang pada awak untuk membuat pilihan. Ada saya paksa awak untuk pilih saya? Tak........kan? Apa yang awak nak lagi?” Qismyna bersuara keras.

“Saya cuma nak beritahu awak, saya masih belum berkahwin dengan pilihan keluarga saya.” Adam bersuara dengan jelas. Qismyna terkesima sebentar. Tiba-tiba ingatannya bagai dilayang untuk memutarkan kembali ingatannya sewaktu terlihat Adam sedang bermesra dengan seorang wanita di Sunshine Square.

“Belum berkahwin......Jadi, apa kena mengena dengan saya?”

“Qis....please!”

“Wanita yang bersama awak di Sunshine Square tu siapa? Teman wanita? Tunang? Isteri atau.....” Qismyna mengangkat bahu. “Baik betul hati dia kasi awak pegang sana sini,” sindir Qismyna. Adam mengeluh sebentar.

“Okey.....dia tunang saya! Pilihan keluarga saya! Tapi saya tak nak berkahwin dengan dia!” tegas Adam.

“Itu bukan masalah saya!” Qismyna menjawab dengan tegas juga.

“Qis look!. Saya datang sini sebab saya cari awak. Saya nak bina kembali hubungan kita.”

“Untuk apa? Sedangkan terang-terang awak dah tinggalkan saya! Dan dari apa yang saya lihat, awak bahagia dengan dia.” Qismyna merenung tajam lelaki di depannya.

“Saya tak bahagia dengan dia!” suara Adam meninggi sedikit.

“Who cares?!!” Qismyna bingkas bangun. Lantas Adam menarik tangan Qismyna.

“Hai!” Kedengaran satu suara menegur. Qismyna dan Adam berpaling. Lantas Adam melepaskan tangan Qismyna.

Seorang perempuan berdiri di hadapan mereka. Dengan wajah yang masam dia memandang Adam dan Qismyna silih berganti. Melihatkan wajah itu, Qismyna telah dapat mengagak ada perkara buruk yang akan terjadi. Itulah perempuan yang dilihatnya bersama Adam tempoh hari.

“Awak Qismyna?” tanyanya kasar pada Qismyna.

“Awak siapa?” Qismyna bertanya kembali.

“Saya Rina. Isteri Adam,” balas wanita itu, sedikit menekan suaranya. Qismyna melirik kepada Adam.

“Apa ni Rina?!” Adam menatap wajah itu dengan amarah. Marah kerana wanita itu mengaku dia suaminya.

“You....shut up!” Rina menunding jari pada Adam, kemudian menoleh semula pada Qismyna. “You tak malu ke? Nak jadi perampas suami orang?”

Excuse me...... Siapa yang nak rampas suami awak? Setakat dia nilah....” Qismyna menunding pada Adam. “.....saya tak hairan tau!” Qismyna melihat Rina dengan perasaan marah. Rina mencebik seraya memandang Qismyna dari atas ke bawah.

“Awak tak hairan dengan dia ke, atau dia yang tak nak kat awak? Awak tengoklah diri awak. Setakat perempuan macam awak ni, bukan tandingan saya.” Sindirnya tajam sambil melihat keadaan diri Qismyna yang dikotori dengan tepung.

“Stop it, Rina.” Adam memegang tangan Rina. Rina menepis.

“Do not interfere, okey. I’m not talking to you.” Adam mendengus dengan sikap Rina. “Eh, perempuan.” Rina menolak bahu Qismyna. “Lagi sekali aku nampak kau goda suami aku, siap engkau.”

“Tolonglah. Aku bukan perempuan murahan nak rampas suami orang. Cuba kau tanya suami kau. Siapa yang tergilakan siapa.”

“Kau jangan nak tuduh suami aku tergila-gilakan kau pulak.” Rina menolak tubuh Qismyna. Tolakannya agak kuat menyebabkan Qismyna terkebelakang sedikit.

“Ni dah kira kurang ajar ni. Aku cuma main mulut. Kau melebih pulak.” Kemarahan Qismyna hampir ke puncak.

“Kenapa kau tak puas hati?!” balas Rina. Adam cuba menarik Rina lagi. Berkali-kali ditarik berkali-kali Adam ditolak Rina.

“Kau jangan masuk campur Adam. Ini antara aku dengan dia,” ujar Qismyna. Adam mula merasa bosan melihat mereka. Dia melepaskan keluhan panjang.

“Rupanya kau masih tak puas hati?!” sindir Rina dengan memek muka yang menjengkelkan.

“Memang!!” Qismyna menolak tubuh Rina dengan kuat. Tolakan yang kuat ini menyebabkan Rina terjatuh. Dia mendengus geram. Dia bangun dan ingin menghampiri Qismyna. Adam menahannya lagi.

“Sudah Rina. Jom kita balik.” Dia memegang tangan Rina. Rina meronta dengan kuat. Hampir saja pegangan itu terlepas. Terus saja Adam memeluk pinggang Rina untuk menghalangnya dari menghampiri Qismyna.

“Aku takkan balik selagi perempuan gila tu tak minta maaf dari aku!!” jerit Rina.

“Siapa gila?! Kau yang gila!” Qismyna masih belum berpuas hati.

Mie, Linda dan Razin yang kebetulan berada di situ berpandangan sesama sendiri. Mereka sendiri kaget melihat apa yang berlaku. Lantas menoleh ke arah orang ramai yang semakin menumpukan perhatian pada adegan percuma itu.

“Sebelum apa-apa jadi baik korang pergi tengok. Biar aku jaga kaunter.” ujar Razin pada Mie dan Linda. Mereka berdua mengangguk dan menuju menghampiri Qismyna.

“Sabar...cik....sabar.” ujar Linda pada Rina.

“Korang ni siapa nak masuk campur urusan orang?” balas Rina dengan kasar.

“Sudahlah! Malu orang tengok. Ini tempat berniaga. Kalau nak cari gaduh, tunggulah....kat tempat lain!” ujar Mie pula. “Baik encik bawa isteri encik ni balik dulu,” katanya pada Adam.

“Saya takkan balik selagi perempuan gila tu tak minta maaf pada saya!” Rina memeluk tubuh dan berpaling ke tempat lain dengan angkuh.

“Hei...kenapa pulak saya nak kena minta maaf pada awak?! Awak tu yang patut minta maaf pada saya. Datang tempat orang kemudian buat kacau kat sini!” Qismyna mendengus.

“Selagi awak tak minta maaf pada saya, saya takkan pergi dari sini!”

“Sudahlah Rina. Mari kita balik.” Adam menarik tangan Rina. Rina menepis lagi.

“Sudahlah Cik Qis. Cik mengalah sajalah. Malu orang tengok,” ujar Mie sambil berbisik. Qismyna memandang sekeliling. Memang benar kata-kata Mie. Mereka sekarang menjadi tumpuan.

“Baiklah....awak tunggu sini!” Qismyna bergerak ke dapur belakang. Lantas dia menggenggam serbuk tepung di kedua-dua tangannya lalu kembali menampakkan diri. Mereka yang lain masih menunggu.

“Awak nak saya minta maaf bukan?” Qismyna bertanya pada Rina.

“Of course!” Rina menjeling. Qismyna menghampiri Rina kemudian membaling tepung di genggaman kirinya. Balingan tepung itu mengenai tepat wajah Rina. Mereka semua terkejut dengan tindakan Qismyna. Mulutnya terlopong.

“You?!” dia menunding jari pada Qismyna. Qismyna mengangkat keningnya seolah-olah mengejek Rina. Mereka yang berada di situ hampir tertawa melihat keadaan Rina termasuk Adam sendiri.

“Maaf Cik Rina.....saya tak sengaja.” Qismyna melembutkan suaranya sambil mengejek.

“Dah! Jom kita balik!” Adam menarik tangan Rina. Kali ini dia tidak menepis. Sebelum berlalu dia sempat menoleh pada Qismyna.

“Jaga kau!!” dia menjerit.

Qismyna melepaskan keluhan. Sakit di hati masih terasa. Memang dia tidak menyangka dia akan bertindak begitu sebenarnya. Sekali lagi dia melepaskan keluhan kemudian berpaling memandang Mie.

“Saya nak awak bersihkan tempat ni semula,” ujar Qismyna lantas melihat tangan kanannya yang masih memegang tepung. Dia mendengus lalu mencampakkan tepung dalam genggamannya ke belakang. Kemudian terus berlalu pergi.

Mie dan Linda tergamam melihat lelaki yang baru tiba itu. Qismyna membaling tepung itu tanpa melihat ke belakang. Akibatnya, tepung itu terkena pada seorang pelanggan.



WES mengibas-ngibas rambutnya yang dipenuhi serbuk putih itu. Kemudian menyapu bajunya yang turut terkena. Dia mencium serbuk itu dan merasa dengan lidah.

“Tepung!” ujarnya. Sementara menyapu serbuk-serbuk tepung yang melekat di bajunya, dia melihat-lihat sekeliling mencari kelibat orang yang bertanggungjawab mengotorkan dirinya. Dia menyedari orang itu ialah perempuan tetapi tidak dapat melihat wajahnya kerana perempuan itu membelakangi dirinya. Kemudian datang seorang lelaki menghampirinya.

“Maaf, encik.” Lelaki itu membantunya membuang serbuk-serbuk tepung di bajunya.

“Awak pekerja di sini?” tanya Wes.

“Iye....” Lelaki itu mengangguk. Dari wajahnya kelihatan benar perasaan bersalah.

“Siapa yang baling tepung kat saya?” tanya Wes lagi.

“Hmm....Cik...Qismyna. Maaflah encik. Cik Qis tak sengaja tu,” jawab lelaki itu dengan ragu-ragu.

“Cik Qismyna? Pemilik cafe ni?” Lelaki itu mengangguk lagi menjawab pertanyaan Wes. Dia tidak menyangka sama sekali lelaki itu mengenali Qismyna. Wes mengangguk.

Dia tidak menyangka gadis yang bernama Qismyna yang dikenali namanya tetapi tidak pernah bersua muka, rupa-rupanya boleh tahan juga sifat pemarahnya.

Sedari tadi dia berada di situ bersama-sama beberapa pengunjung yang lain asyik memerhatikan kejadian yang baru berlaku. Tetapi dia tidak tahu puncanya. Malah dia yakin mereka yang menonton kejadian tadi juga tidak tahu punca pertengkaran sebentar tadi kerana dia ada terdengar bisikan mereka yang bertanya sesama sendiri sebab-sebabnya.

“Tak pelah...siapa nama awak?”

“Suhaimi. Panggil saja Mie,” ujar lelaki itu. Wes mengangguk.

“Sebenarnya saya datang sini, sebab nak cari Farahymma,” beritahu Wes mengenai tujuan asalnya.

“Farahymma......hari ini dia bertugas di bahagian stationary. Encik boleh cari dia kat sana,” balas Mie.

“Terima kasih,” ucap Wes lalu melangkah ke stationary shop. Dia memerhati keadaan sekeliling. Mencari-cari kelibat Farhymma. Lantas matanya menangkap tubuh Farahymma yang sedang memegang sebuah kotak kecil. Dia menghampiri gadis itu. Farahymma kelihatan terkejut melihat Wes berada di situ.

“Awak buat apa kat sini?” Farahymma mendengus lalu memerhati sekeliling. Bimbang dilihat oleh Salmi, penyelia di situ. “Baik awak pergi. Saya tengah kerja.”

“Nanti!” Wes menahan Farahymma yang ingin berlalu pergi. “Tolonglah....” rayunya.

“Tolonglah apa?! Saya tengah kerja. Nanti tak pasal-pasal saya kena marah.” Dia terus berlalu tanpa memperdulikan Wes.

“Saya tunggu awak!” jerit Wes pada Farahymma yang menuju ke dalam. Farahymma sempat menoleh dan menjelingnya tajam.

Wes berpusing-pusing di situ. Sesekali matanya liar memerhati mencari kelibat Farahymma yang masih di dalam. Dia tegas akan menunggu di situ sehinggalah Farahymma bersetuju untuk menemuinya. Kali ini dia takkan mengalah. Dia perlu berterus terang dengan Farahymma.

Kemudian matanya menangkap susuk tubuh seorang gadis yang baru keluar dari pintu yang sama Farahymma masuk sebentar tadi. Gadis yang memakai blaus biru dan berseluar jeans itu dipandangnya lama. Cantik orangnya. Berambut lurus melebihi paras bahu. Rasanya dia pernah bertemu dengan gadis itu. Tetapi dia tidak pasti di mana.

Mungkinkah gadis itu adalah Qismyna. Ah.....sayang sekali kerana dia tidak melihat gadis itu mengenakan pakaian apa sewaktu kejadian itu tadi. Namun, apa yang menarik perhatiannya, dari riak air muka gadis itu seolah-olah memendam seribu perasaan yang tak dapat dibacanya. Dia menghembus nafas sebentar.

Untuk apa dia berfikir tentang orang lain sedangkan masalahnya sendiri masih belum dapat diselesaikan. Dia melirik pada buku-buku latihan dan semua peralatan tulis yang terdapat di disitu. Sengaja diambil dan dibeleknya. Namun, matanya masih memberi perhatian pada pintu di mana Farahymma masuk ke dalam. Namun, kelibat Farahymma masih belum kelihatan.

No comments:

Post a Comment