KEDIAMAN mewah yang terletak di kaki bukit itu dipenuhi dengan orang ramai yang turut menyertai kegembiraan yang dirasakan oleh pemiliknya. Biasanya, di banglo mewah itu sunyi dan sepi, tetapi pada hari itu suasananya berlainan sekali.
Walaupun Datin Mary kurang senang dengan keputusan yang diambil oleh anak tunggalnya itu, namun setelah Manisa memutuskan sendiri untuk berpisah dengan Wes dan bertunang dengan seorang pemuda yang berasal dari semenanjung, dia terpaksa akur.
Pertunangan antara Manisa dan Wes telah ditentukan oleh keluarga oleh kedua-dua belah pihak. Namun, setelah kedua-dua mereka telah bersetuju untuk berpisah, kedua-dua keluarga terpaksa menurut.
Memang ada rasa segan sewaktu mereka datang ke rumah dengan Puan Wati dan Encik Wahid untuk mengembalikan semula cincin pertunangan. Namun, syukurlah keluarga Encik Wahid menerima dengan hati terbuka. Wes juga terlebih dahulu memberitahu ibu bapanya tentang kedatangan mereka.
Datin Mary melangkah ke kamar Manisa. Melihat anak gadisnya dihias cantik. Berbaju kurung putih dan berselendang. Walaupun sederhana, namun wajahnya berseri-seri.
Manisa melemparkan senyuman buat ibunya. Datin Mary membalas. Senyuman itulah yang diharap-harapkan sewaktu Manisa bertunang dengan Wes. Tetapi apakan daya, walaupun bertunang selama lima tahun, namun rasa cinta tidak dapat dipupuk di dalam hatinya dan Wes.
Mungkin apa yang berlaku ada hikmah dan untuk kebaikan bersama. Memang dari dulu Datuk Arshad tidak bersetuju Manisa dan Wes ditunangkan tanpa ada rasa cinta. Namun, dia yang beria-ia ingin membina hubungan dengan Puan Wati.
Sejak lapan tahun lalu, hanya Puan Wati yang sudi menjadi sahabatnya. Tiada seorang pun dikalangan yang setaraf dengannya yang sudi mendekatinya.
Sejak dia berkahwin dengan Datuk Arshad dan menjadi isteri kedua, dia sering ditomah dengan pelbagai tuduhan dan fitnah. Tambahan pula pengaruh Datin Sofea, isteri pertama Datuk Arshad begitu kuat dikalangan Persatuan Wanita. Dia sering menjadi bahan ejekan dan umpatan. Kononnya, dia berkahwin dengan Datuk Arshad kerana harta memandangkan jarak perbezaan umurnya dengan Datuk Arshad yang ketara.
Ketika berkahwin dengan Datuk Arshad, dia baru mencecah dua puluh tahun. Dan waktu itu, Datuk Arshad berusia empat puluh tahun. Setahun selepas mendirikan rumah tangga, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, iaitu Manisa. Satu-satunya anak yang Datuk Arshad ada memandangkan Datin Sofea tidak dapat memberinya zuriat.
Selepas Datin Sofea meninggal dunia, dia sering dikaitkan sebagai punca Datin Sofea meninggal. Sedangkan doktor sendiri telah melaporkan kematian Datin Sofea berpunca dari kegagalan jantungnya untuk berfungsi.
Tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Dia berpaling. Datuk Arshad tersenyum padanya.
“Kenapa?” tanya Datuk Arshad. Sedari tadi dia memerhatikan isteri yang sedang termenung itu dari jauh. Datin Mary tersenyum lalu menggelengkan kepalanya.
“Tak ada apa, bang.”
“Wati sekeluarga dah sampai. Ada di depan. Awak pergi sambut mereka,” ujar Datuk Arshad. Datin Mary mengangguk sambil memerhati Datuk Arshad yang berlalu pergi.
Walaupun suaminya itu berusia enam puluh tujuh tahun, namun dia masih kelihatan kuat dan cergas. Sungguh pun diwajah itu telah nampak kedutan, namun Datuk Arshad masih kelihatan tampan dimatanya.
Datin Mary menuju ke ruang tamu mencari Puan Wati sekeluarga yang baru tiba. Puan Wati melambai-lambai dari jauh. Datin Mary menghampirinya. Mereka berpelukan. Seketika pelukan mereka dieratkan. Walaupun hari itu mereka sepatutnya bergembira, namun rasa terkilan di hati masing-masing masih terasa.
“Wes tak datang?” tanya Datin Mary setelah pelukan dileraikan. Dia cuma menyembunyikan rasa hatinya.
“Ada. Tu!” Puan Wati memanggil Wes yang berada bersama Encik Wahid dan Datuk Arshad. Walaupun ada rasa segan, namun Wes tetap menghampiri mereka sambil mengukirkan semyuman.
“Aunty ingatkan Wes dah tak nak datang,” Datin Mary cuba menimbulkan suasana ceria. Dia tidak mahu kerana perkara ini, hubungannya dengan Puan Wati menjadi renggang.
“Si kembar?” tanya Datin Mary apabila tidak terlihat kelibat adik-adik kembar Wes.
“Mereka ada camping. Tak dapat datang,” beritahu Puan Wati lagi.
“Marilah masuk ke dalam!” ajaknya dengan ramah. Puan Wati melangkah dengan senyuman.
DENGAN menaiki dua buah kereta yang disewa khas untuk pertunangan Ariff, mereka sekeluarga termasuk keluarga Encik Zulkifly menuju ke banglo mewah milik Datuk Arshad.
Tepat jam satu tengahari mereka telah bertolak dari Hotel Sangri-La downtown Kota Kinabalu yang tidak jauh dari rumah pengantin perempuan.
Dengan rasa rendah diri, mereka melangkah ke luar dari perut kereta dan masuk ke dalam banglo mewah itu setelah dijemput oleh wakil Datuk Arshad.
Dengan hantaran sebanyak dua puluh dulang bersama cincin merisik dan cincin pertunangan mereka melangkah ke dalam. Masing-masing berdebar-debar menunggu reaksi dari tuan rumah.
Setelah Datuk Arshad dan Datin Mary keluar dan menyambut kedatangan mereka dengan mesra dan penuh adab, Tuan Malik yang sedarinya khuatir dengan penerimaan keluarga itu menarik nafas lega. Dia bersyukur kerana keluarga yang berpangkat besar itu tidak sombong dan ramah melayani mereka sekeluarga.
Sebaik sahaja adat merisik dan adat peminangan selesai, mereka merakam beberapa gambar kenangan bersama Manisa dan keluarganya. Termasuk sewaktu Puan Suria menyarung cincin merisik dan juga cincin pertunangan di jari manis Manisa.
Setelah itu, mereka sekeluarga telah dibawa untuk menjamu hidangan yang disediakan. Sebuah meja khas telah ditempatkan untuk mereka sekeluarga menjamu selera. Untuk tetamu yang lain hidangan buffet disajikan.
Selepas itu mereka semua dibawa bersiar-siar melihat kawasan banglo yang besar itu. Masing-masing terpegun dengan keindahan lanskap dan struktur banglo mewah itu. Datuk Arshad dan Datin Mary juga mengenalkan beberapa tetamu yang hadir pada hari itu.
Fauzan yang turut datang bersama keluarganya mengambil segelas minuman dan berjalan melihat sekitar kawasan hadapan rumah. Sedari tadi dia menunggu Qismyna tetapi gadis itu masih di bilik bersama dengan Manisa.
Dia meneguk sedikit air sirap yang disediakan. Matanya liar memandang pada orang ramai yang menghadiri majlis pertunangan itu. Meriah sungguh majlis yang disediakan Datuk Arshad untuk anak tunggalnya.
Seketika ingatannya melayang mengingatkan Ariff yang sendirian di Pulau Pinang. Dia tersenyum sendiri. Memang sudah menjadi adat. Pengantin lelaki tidak boleh menghadiri majlis pertunangannya. Hanya keluarga di sebelah lelaki sahaja yang hadir untuk menyarungkan cincin tanda perjanjian antara kedua-dua belah keluarga.
Dia meneguk minuman di tangannya lagi. Tiba-tiba matanya menangkap susuk tubuh seorang lelaki yang dikenali. Pantas dia berjalan menghampiri lelaki yang sedang bersendirian itu.
Dia menyentuh bahu lelaki itu dari belakang. Lelaki itu berpaling memandangnya.
“Fauzan!” Wes rasa terkejut.
“Kau masih ingatkan aku.” Mereka bersalaman.
Mereka berjalan ke satu sudut. Setelah agak lama berbual dan bercerita, Wes meminta diri untuk pulang apabila Encik Wahid dan Puan Wati menghampirinya. Wes mengenalkan mereka kepada Fauzan.
Sebaik sahaja Wes berjumpa dengan Datuk Arshad dan Datin Mary untuk meminta izin meninggalkan majlis pertunangan Manisa, Fauzan menemaninya hingga ke kereta.
Selepas kereta Wes hilang dari pandangan, Fauzan melangkah ke dalam mencari kelibat Qismyna yang masih belum kelihatan. Kelibat ahli keluarganya yang lain juga tidak kelihatan.
‘Mana diorang semua?!' sungutnya di dalam hati dan kemudian melepaskan keluhan kecil.
No comments:
Post a Comment