Monday, 4 July 2011

Saat Hati Merelakan 14

QISMYNA meneliti setiap satu laporan dan invois yang sampai ketangannya. Walaupun sudah semingggu dia mengendalikan cafe ini masih banyak laporan yang masih belum diselidikinya terutama sekali stok-stok yang terdapat di stationary shop dan juga bahan-bahan rujukan yang terdapat di perpustakaan serta buku-buku untuk jualan.

Dia melirik jam dipergelangan tangannya. Hampir jam satu tengahari. Dia membuka jadualnya. Melihat jika ada perkara penting yang perlu diuruskan. Mujurlah, tiada apa-apa yang penting untuk diuruskan. Dia mengemas mejanya. Hari ini dia akan keluar makan tengahari bersama dengan Zila. Tak sabar rasanya untuk bertemu sahabatnya yang telah mangandung lima bulan itu.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dan muncul Salmi yang merupakan penyelia di cafe itu.

“Cik Qis, tadi wakil dari Central Paper Sdn. Bhd call. Katanya, selasa ni diorang tak dapat hantar majalah-majalah yang kita pesan.”

“Kenapa?”

“Selasa depan, kan public holiday. Hari Pekerja.” Qismyna menepuk dahinya lalu menggelengkan kepala. Macam mana dia boleh terlupa sedangkan baru sebentar tadi dia melihat jadual.

“Saya lupa.”

“Tapi katanya, kalau nak dipercepatkan hantaran stok, tak de masalah. Isnin depan diorang hantar,” ujar Salmi.

“Kalau macam tu, awak call diorang semula dan minta semua penghantaran stok dilakukan pada hari Isnin.” Salmi mengangguk mendengar arahan Qismyna. “Dan satu lagi, saya nak awak pesan pada staff kita yang uruskan bahagian penerimaan, pesan pada diorang, check invoice betul-betul. Saya tak nak ada kesilapan. Saya tak mahu buat kerja yang sama dua tiga kali. Awak faham.”

“Faham Cik Qis,” ujar Salmi.

“Okey,” balasnya. “Saya nak awak tanya semua staff kita sama ada diorang nak kerja pada hari tersebut atau tidak. Kalau diorang nak cuti, saya tutup kedai. Tapi, kalau diorang sanggup nak bekerja pada hari tu, macam biasalah.....double pay.”

“Baik, Cik Qis. Saya akan tanya pada diorang. Keputusan mengikut majoriti?”

“Ya. Mengikut majoriti.” Qismyna mengiakan pertanyaan Salmi. “Saya nak keluar,” ujar Qismyna sambil melihat jam ditangan. “Kalau ada apa-apa, awak call saya.” Salmi hanya mengangguk.



SELEPAS makan tengahari, Qismyna menemani Zila membeli belah di Sunshine Bayan Baru. Gembira dia melihat Zila yang sedang mengandung lima bulan itu. Badan yang semakin membesar. Perutnya membonyot sedikit ke depan. Jari tangan dan kakinya juga semakin montok.

Dari satu kedai ke satu kedai, dari satu tingkat ke satu tingkat mereka singgah. Melihat baju-baju tetapi bukan untuk mereka, untuk anak yang bakal dilahirkan dan juga untuk Johan yang kini sedang bertugas di Negeri Sembilan selama dua minggu.

Qismyna senang melayan kerenah Zila yang cerewet memilih. Ada saja yang tak kena pada pandangannya. Itu tak cantik, ini warnanya pudar dan macam-macam lagi. Sampai naik pening Qismyna dibuatnya.

Sedangkan Zila yang selama ini dikenalinya bukanlah seorang yang cerewet. Mungkin ini salah satu dari sikap pembawakan budak. Walaupun Qismyna tidak pernah merasai perjalanan sebegini, namun dari cerita teman-teman dan keluarga sedikit sebanyak dia tahu mengenainya.

“Qis....” Zila menepuk bahu Qismyna. Qismyna yang sedang membelek baju comel itu menoleh. “Aku nak ke tandas. Kau nak ikut?”

“Kau pergilah. Aku tunggu di sini,” ujarnya dan terus membelek baju-baju kecil ditangannya. Zila melangkah menuju ke tandas meninggalkan Qismyna sendirian.

Sedari tadi Zila asyik ke tandas. Tak tahu kenapa. Katanya, sejak kandungannya mencapai usia lima bulan, dia kerap ingin membuang air kecil.

Qismyna yang sedang asyik membelek tadi meletakkan kembali baju-baju yang diambil. Terasa bosan pula menunggu Zila di situ. Lantas dia berjalan-jalan melihat baju-baju wanita yang tergantung berhampiran. Sedang dia leka memerhati keadaan sekeliling, dia terpaku pada pasangan yang sedang berjalan seiring. Hatinya terasa sakit. Dia berpaling ke tempat lain.

Dia tak mahu berada lebih lama di situ. Dia tak mahu pasangan itu melihatnya. Lantas dia bergerak mencari Zila di tandas perempuan.

Dek kerana berjalan tergesa-gesa, tiba-tiba sahaja tubuh Qismyna terlanggar seseorang. Telefon bimbit yang dipegangnya terjatuh. Lelaki tersebut yang kebetulan sedang bercakap di telefon bimbitnya juga terlepas pegangannya.

Mereka berpandangan sebentar sebelum mengambil telefon bimbit yang terjatuh itu. Tetapi mereka menjadi keliru kerana telefon bimbit mereka dari model yang sama. Nokia N90 yang berwarna silver.

“Maaf. Saya tak sengaja.” Qismyna meminta maaf terlebih dahulu.

“Saya pun minta maaf juga. Saya tak perasan cik ni tadi.” Dia menunjuk kepada Qismyna. Kemudian dia melangkah pergi sambil membelek telefon bimbitnya.

Qismyna juga melangkah pergi sambil tangannya menekan punat-punat untuk memastikan telefon bimbit itu adalah miliknya. Dia mengetap bibir lalu berpaling ke belakang dan mengejar lelaki tersebut.

Lelaki itu menghentikan langkahnya lalu berpaling kepada Qismyna. Dia tahu tentu telefon bimbit mereka telah tertukar.

“Maaf. Tertukar.” Lelaki itu menyerahkan telefon bimbit yang dipegangnya. Qismyna juga berbuat demikian.

“Maaf ye...” ujar Qismyna lalu menuju ke tandas perempuan kembali.

Zila yang kebetulan ingin melangkah keluar dari tandas. Terkejut melihat Qismyna yang berada di depan pintu.

“Kau nak ke tandas ke?” tanya Zila. Qismyna menggeleng.

“Aku nampak Adam. Dengan seorang perempuan. Mungkin isteri dia,” beritahu Qismyna. Kini Zila tahu mengapa Qismyna ke situ mencarinya.

“Sabarlah Qis. Nak melupakan seseorang memang memerlukan waktu.” Qismyna mengetap bibir mendengar kata-kata Zila. “Kau masih cintakan dia?”

“Entahlah. Aku sendiri tak pasti dengan perasaan aku. Tapi sejak aku pulang ke sini, menjadi guru tadika kemudian sibuk dengan cafe, aku dah jarang ingatkan dia. Cuma aku masih belum boleh berdepan dengan dia.”

“Tapi hari tu kau boleh pun berhadapan dengan dia.”

“Entahlah, Zie!” Qismyna mengeluh. “Alangkah baiknya kalau dia tak de kat sini dan pulang semula ke Sabah. Mengganggu betul!”

Zila tersenyum. Dia dapat rasakan rasa cinta yang tebal dalam diri Qismyna untuk Adam semakin nipis. Dia yakin dengan firasatnya.

“Jom. Kita ke tempat lainlah.” Qismyna menarik tangan Zila.



WES menyandarkan tubuhnya ke kerusi yang empuk itu. Matanya dipejam rapat. Dia menggigit hujung pen yang dipegang. Pintu biliknya diketuk dan Rozie melangkah masuk.

“Tuan, sekarang dah pukul lima petang. Saya nak balik. Sebelum saya balik, ada apa-apa yang tuan nak saya lakukan?”

“Tak......tak de apa. Awak boleh balik,” ujar Wes. Rozie mengangguk lalu melangkah keluar.

Rozie merasa kasihan melihat tuannya. Walaupun Wes tidak pernah bersuara atau menceritakan masalahnya, namun Rozie tahu Wes mempunyai masalah dengan tunangnya Manisa. Dia dapat mengagak apabila setiap kali Manisa menghubungi Wes, Wes selalu mengelak dari bercakap dengannya. Pernah juga dia terdengar mereka bertengkar ketika Manisa datang ke pejabat bertemu Wes.

Namun, sejak kebelakangan ini dia jarang menerima panggilan telefon dari Manisa. Malah Manisa sendiri jarang ke pejabat untuk bertemu Wes. Mungkin juga Wes dan Manisa telah berbaik. Telahan Rozie. Tapi mengapa Wes kelihatan berang pada hari itu. Mungkin kerana perkara lain yang tiada kaitannya dengan Manisa.

Wes memegang perutnya yang memulas minta diisikan. Sejak tengahari tadi dia tak menjamah apa-apa. Ini semua gara-gara Manisa. Pagi tadi, dia menelefon Manisa mengajaknya keluar untuk makan tengahari. Tujuannya dia mengajak Manisa adalah untuk memastikan tunangnya itu berada dalam keadaan yang selamat. Dalam masa yang sama dia cuba untuk mengetahui hubungan Manisa dengan Ariff, lelaki yang pernah dilihatnya dengan Manisa. Ya....dia pasti, Ariff pengurus A2-M Sdn. Bhd adalah lelaki yang sama ditemuinya bersama Manisa.

Tengahari itu mereka bersama-sama ke Restoran Anggerik Biru di Sunshine Square Bayan Baru. Sebelum makanan yang dipesan sampai, mereka berbual-bual. Entah kenapa Manisa kelihatan begitu manja dengannya hingga membuat dia rasa kekok. Nasi putih berlaukkan daging masak merah dan juga sayur campur yang dipesannya langsung tidak mengundang seleranya.

Sangkanya Manisa telah melupakannya dan menerima cinta baru. Namun, ternyata hampa. Menurut Manisa dia bertemu dengan Ariff sekadar untuk mengisi masa lapangnya sementara Wes sibuk dengan urusan kerjanya. Dia langsung tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Ariff.

Yang lebih memeningkan kepala apabila Manisa menyangkakan Wes ingin membaiki hubungan antara mereka. Hai.......Wes melepaskan keluhan. Kerana salah sangka ini menyebabkan Manisa akan terus berharap dengannya.

Selepas saja makan tengahari, mereka berjalan-jalan di kompleks itu. Wes manahan marah dengan sikap Manisa yang sengaja ingin menyakiti hatinya apabila dia menjelaskan perkara yang sebenar. Manisa sengaja memeluk tangannya dan menariknya ka sana dan ke mari tanpa memperdulikan mata yang memandang.

Kebetulan ketika itu dia menerima panggilan penting dari pejabat. Dia di minta untuk menghadiri satu mesyuarat penting dengan orang atasan. Apabila mendapat tahu dia harus ke pejabat, Manisa menjadi berang dan mula marah-marah.

Akhirnya, kerana malas melayan kerenah Manisa lalu dia meninggalkan tunangnya itu sendirian.

Tetapi nasibnya agak malang. Sewaktu dia tergesa-gesa meninggalkan tempat itu dia terlanggar seorang gadis. Memang salahnya kerana tak perasan kehadiran gadis itu. Mungkin kerana waktu itu Rozie menghubunginya semula untuk memberitahu di mana mesyuarat itu akan diadakan.

Mujurlah gadis yang dilanggarnya itu tidak menyalahkannya. Malah gadis itu dengan rasa bersalah meminta maaf darinya.

Wes tersenyum sendiri apabila terkenangkan peristiwa sebentar tadi. Sudahlah dia melanggar gadis itu, mereka juga tertukar telefon bimbit kerana model telefon mereka yang sama, Nokia N90 berwarna silver.

Mujurlah gadis itu menyedari. Jika tidak, tentu sekarang ini telefonnya berada dengan gadis itu. Begitulah juga sebaliknya.

Wes mengambil telefon bimbitnya dari kocek seluar. Dia membelek-belek telefon bimbit itu. Dia tersenyum sendiri.



RASHID memusing-musing anak kuncinya dengan jari sambil matanya liar melihat telatah orang yang lalu lalang di situ. Dia bersiul-siul perlahan. Sesekali matanya melirik ke arah tandas lelaki. Kelibat Wes masih belum kelihatan.

Sedang dia asyik berhibur sendiri, berdiri di depannya seorang gadis yang tersenyum manis padanya. Dia mengamati wajah itu lalu tersenyum.

“Farah!” Rashid tersenyum. “Lama tak jumpa kau. Kau apa khabar sekarang?”

“Baik...Alhamdulillah. Kau macam mana?” tanya Farahymma kembali.

“Macam kau lihat sekarang.” Rashid mendepakan tangannya.

“Hmm....semakin berisi.” Farahymma tertawa kecil.

Wes membetulkan zip seluarnya. Rambutnya disikat dan kemudian melangkah keluar dari tandas dan menuju ke hadapan. Langkahnya terhenti apabila mendengar suara Rashid yang sedang rancak berbual dengan seseorang. Dia cuba memasang telinga. Suara itu seperti dikenalinya.

“Tak apalah. Aku pulang dulu.” Gadis itu berundur diri setelah agak lama berada di situ.

“Nantilah dulu.” Rashid cuba menghalang. Dia mahu Farahymma berjumpa dengan Wes.

“Tak pelah. Lain kali. Aku dah lambat ni.” Dia terus berlalu tanpa menoleh lagi. Rashid mengeluh hampa kerana tidak dapat mengalang Farahymma dari berlalu pergi.

Wes segera meluru keluar apabila mengenali suara itu. Hanya Rashid yang berada di situ. Matanya liar memandang sekeliling mencari-cari kelibat yang ingin ditemuinya. Dia mengeluh apabila insan yang dicari tiada. Dia menghampiri Rashid semula.

“Farah ke sini?” tanya Wes. Rashid mengangguk.

“Maaf. Aku tak sempat nak halang dia.” Rashid memohon maaf. Wes melepaskan keluhan hampa.

“Tak pe,” balas Wes lemah. “Dia tahu aku ada di sini?” Rashid menggelengkan kepala. Wes mengangguk. Sangkanya Farahymma pergi kerana tahu dia berada di situ.

“Kau tahu tak Farah bekerja di mana sekarang?” tanya Rashid sambil tersenyum penuh makna. Walaupun sekejap sahaja dia dapat berbual dengan gadis itu tetapi dia sempat mencari beberapa maklumat untuk sahabatnya.

“Di mana?” tanya Wes pantas.

“HappyWebCafe. Cafe yang pernah bekerjasama dengan syarikat kau.” Rashid mengangkat keningnya.

“HappyWebCafe?!” Wes tersenyum penuh harapan. Tanpa membuang masa dia terus melangkah pergi meninggalkan Rashid.

“Hei!! Nanti!” panggilan Rashid tidak diperdulikan. Dia harus berjumpa dengan Farahymma. Jika benar Farahymma bekerja di sana, bermakna pandangannya benar sewaktu dia menghadiri perasmian cafe itu. Dia melihat Farahymma di sana. Namun, apabila dia cuba melihat sekali lagi, wajah itu telah tiada.

Wes meneruskan langkahnya menuju ke HappyWebCafe Sebaik saja sampai di sana dia terus memerhatikan kawasan sekeliling. Mencari-cari siapa yang patut ditanya untuk mencari Farahymma.

Kemudian dia menuju ke sebuah kaunter pembayaran di stationary shop. Kelihatan seorang lelaki sedang ligat menjalankan tugasnya. Dia menghampiri lelaki itu dan memberi salam. Lantas lelaki itu menjawab dan menoleh ke arahnya.

“Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya lelaki itu ramah sambil mengukirkan senyuman.

“Boleh saya tahu, Farahymma bekerja di sini ke?”

“Farahymma?” lelaki itu memegang dagunya seolah-olah sedang berfikir. “Oh ya......Farah!” dia memetik jari. “Ada. Tapi dia cuti dua hari. Lepas dua hari encik datang balik. Insyaallah.....dia ada.”

Wes mengangguk dengan perasaan hampa. Setelah mengucapkan terima kasih, dia melangkah pergi. Dia pasti akan ke sana dua hari lagi.

Sebaik dia berlalu pergi, dia menghentikan langkah dan kembali menghampiri lelaki tersebut.

“Tolong jangan beritahu dia ada orang cari dia di sini,” pesan Wes. Lelaki itu mengangkat keningnya tidak memahami maksud Wes berkata demikian.

“Saya takut dia lari,” balas Wes kemudian.

No comments:

Post a Comment