Wednesday, 29 June 2011

Saat Hati Merelakan 7

MAKAN malam itu disediakan oleh Puan Suria dan Puan Marsila. Qismyna turut membantu menyediakan hidangan walau dia tidak mahir memasak. Pembantu rumah Puan Marsila turut membantu.

Pelbagai masakan disediakan. Ayam percik, sate dan beberapa hidangan sampingan hanya dibeli diluar. Mereka duduk di meja makan beramai-ramai sambil menjamu selera.

Fauzan merenung gadis di depannya sambil mengukirkan secebis senyuman apabila dirinya dipandang. Maya menjeling. Sakit hatinya masih belum sembuh. Fauzan tak sudah-sudah mengusiknya.

Sebaik saja makan malam, Tuan Malik dan Encik Zulkarnain menghilangkan diri di bilik bacaan. Puan Suria dan Puan Marsila sedang rancak berbual mengenai masakan. Qismyna yang berada di situ merasa bosan menyertai kedua-dua wanita itu. Matanya liar mencari kelibat Fauzan. Namun tak juga dilihatnya. Mungkin Fauzan menyertai Tuan Malik dan Encik Zulkarnain.

Lantas dia berlalu meninggalkan kedua-dua wanita itu dan menuju ke halaman rumah. Halaman yang luas dihiasi dengan pokok-pokok bunga. Di satu sudut halaman itu terdapat sebuah taman kecil yang disediakan buaian dan sebuah kolam kecil.

Qismyna memanjat tangga-tangga kecil di tepi taman itu sebelum memasuki kawasannya. Lantas dia melabuhkan punggungnya di atas buaian. Kakinya menghayun perlahan buaian itu.

Dia memandang jauh di atas langit. Kelihatan butiran bintang menghiasi segenap ruang. Sungguh cantik pemandangan itu di matanya. Lantas dia memejam matanya beberapa ketika untuk menikmati keindahan sentuhan angin malam dan kesayuan kepekatan malam yang sunyi.

Di hatinya mula terdetik tentang cinta. Cinta yang menjadi subjektif mengapa Hawa diciptakan untuk Adam yang kesunyian. Kerana cinta jugalah menyebabkan Zulaikha sanggup mengkhianati suami kerana cinta yang mendalam pada Yusoff. Kerana cintalah Khadijah sanggup berkorban apa saja untuk Muhammad s.a.w. Dan kerana cinta jugalah sehingga sekarang dia tidak dapat melupakan Adam. Adam……. Satu persatu kenangan kembali menerjah di kotak ingatannya.

Fauzan yang baru selesai menolong Mak Mah di dapur bergerak ke ruang tamu utama. Hanya kelihatan ibunya dan Puan Suria di situ. Dia tertanya-tanya ke mana perginya Qismyna. Mungkin gadis itu berada di luar mengambil angin ?

Kakinya dihayun ke luar. Matanya liar mencari kelibat Qismyna. Akhirnya matanya terpaku pada susuk tubuh orang yang dicari-cari. Dia tersenyum. Lantas dia menghampiri gadis itu. Semakin hampir dia dengan Qismyna semakin jelas penglihatannya pada gadis itu.

Dia memberhentikan langkahnya yang hanya beberapa langkah bezanya dengan Qismyna. Gadis itu sedang memejam matanya rapat seolah-olah sedang tidur. Tapi dia tahu Qimyna masih berjaga. Sungguh cantik Qismyna pada pandangan matanya. Dalam cahaya bulan yang samar-samar dia menatap gadis itu. Bibirnya merah delima. Alis matanya lentik. Hidung yang sedikit mancung. Keaslian yang semulajadi tanpa secalit alatan solek.

Tiba-tiba Qismyna membuka matanya dan memandang terus pada Fauzan. Fauzan kaget sebentar lalu mengukirkan sebuah senyuman. Qismyna membalas senyumannya.

“Kau buat apa sorang-sorang kat luar ni?” tanya Fauzan sambil menuju ke arah Qismyna dan duduk disisinya.

“Kau ke mana tadi? Aku cari kau,” tanya Qismyna kembali, tidak menjawab soalan Fauzan.

“Aku tolong Mak Mah kemaskan dapur.”

“Kau?!” tanya Qismyna agak terkejut kemudian tersenyum sinis tidak mempercayai kata-kata sepupunya itu. Fauzan mengganggukkan kepalanya mengiakan kata-katanya sebentar tadi.

Enam tahun merantau di negeri orang telah banyak mengajarnya untuk hidup berdikari. Dia sudah biasa menyediakan makanan sendiri kerana di Australia makanan halal sukar untuk di cari.

“Nak buat macam mana, kan. Orang perempuan zaman sekarang dah tak mahu ke dapur lagi. Jadi terpaksalah orang lelaki yang turun ke dapur.” sindir Fauzan. Qismyna mencebikkan bibirnya. Dia tahu kata-kata itu ditujukan kepadanya.

“Tak payahlah kau nak sindir-sindir aku. Kalau kau kahwin, belum tentu isteri kau tahu memasak. Yalah......perempuan sekarang tak macam dulu, kan.” ujar Qismyna kembali. Fauzan menganggukkan kepalanya.

“Kalau isteri aku tak pandai memasak, aku boleh ajarkan.” ujar Fauzan yang sememangnya pandai memasak. “Perempuan sekarang bijak-bijak belaka. Malah lebih ramai yang melanjutkan pelajaran berbanding lelaki. Itu aku tak nafikan.” balas Fauzan. Qismyna tersenyum mendengar pujian Fauzan pada kaumnya.

“Lelaki pun tak bodoh sebenarnya. Cuma lelaki minat apa yang perempuan tak minat. Begitu juga sebaliknya. Tapi, setinggi-tinggi mana pun seorang wanita, tempat dia tetap di sisi suami kalau dia mendirikan rumahtangga suatu hari nanti. Betul tak?” tanya Fauzan lalu memandang Qismyna. Qismyna mengalihkan pandangannya. Fauzan tersenyum. Dia tahu Qismyna tidak puas hati dengan kenyataannya sebentar tadi. “Tak payahlah kau nak nafikan semua tu.” Qismyna masih lagi membatu.

Qismyna tahu kata-kata Fauzan adalah benar. Tapi dia tidak berpuas hati mendengar cara Fauzan menyatakan. Seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita disamping lelaki.

“Kau jangan salah faham kata-kata aku Qis,” tambah Fauzan lagi apabila Qismyna masih tidak bersuara. Qismyna mengalihkan pandangannya memandang Fauzan yang berada di sebelahnya.

“Memang aku tak nafikan semua tu. Tapi, kau janganlah terlalu angkuh dengan martabat lelaki. Wanita pun mempunyai keistimewaan yang tiada pada lelaki.” Qismyna bersuara keras.

Fauzan mengerut keningnya seolah-olah keliru. Dia berfikir sebentar. Adakah dia tersilap kata-kata menyebabkan Qismyna menjadi marah. Dia berfikir sejenak.

“Kau terlalu serius dalam bab ni,” ujar Fauzan. “Aku tak merendahkan martabat kaum wanita. Malah aku tahu kaum wanita dijadikan kerana lelaki perlukan wanita dalam hidup mereka.” Fauzan tersenyum sinis. “Apa yang kau fikirkan sebelum aku datang kat sini tadi?” Sengaja dia bertanya soalan itu pada Qismyna kerana dia merasakan Qismyna sedang berfikir tentang perkara yang ada kaitannya mengenai Adam dan Hawa.

“Tak fikir apa-apa.” Qismyna berbohong. Fauzan menatap wajah Maya lama sebelum membalas kata-katanya.

“Okey. Tak pe.” Fauzan mengangkat keningnya. “Memandang tajuk ni terlalu sensitif buat kau, apa kata kita ubah topik,” cadang Fauzan. Tiba-tiba Qismyna mendapat akal.

“Kalau macam tu. Biar aku tanya soalan pada kau.” Qismyna tersenyum. Fauzan mengangguk membenarkan.

“Siapa wanita yang sanggup kau ajar memasak tu?” Qismyna bertanya penuh sindiran.

“Mestilah kau!” balas Fauzan dengan selamba. Maya mengerutkan keningnya. “Tentulah kau sebab kau kan tak pandai masak.” Kali ini Qismyna terkena lagi dengan usikan Fauzan. Kerana geram Qismyna menampar kuat bahu Fauzan. Badan Fauzan sedikit terangkat. Pedih bahunya dirasakan namun sengaja berpura-pura tidak merasa sakit. “Bukan itu maksud aku!” geram Qismyna menuturkan kata. “Maksud aku bakal isteri kau. Siapa bakal isteri kau?” Kali ni suaranya agak rendah sedikit. Fauzan tersenyum sambil menggosok bahunya yang ditampar Qismyna.

“Sakit ke?” tanya Qismyna apabila melihat Fauzan menggosok-gosok bahunya. Tiba-tiba rasa bersalah bersarang dihati.

“Tak sakit pun. Macam gigit semut je,” bohong Fauzan sedangkan tamparan Qismyna memang terasa pedih. Qismyna menjeling mendengar kata-kata Fauzan.

‘Sakitlah tu. Saja tak nak ngaku,’ bisik hati Qismyna.

“Beritahulah aku dengan siapa kau sekarang,” pinta Qismyna. Kali ni suaranya amat lembut. Fauzan memerhati Qismyna lama.

Dihatinya hanya ada satu nama. Sejak dulu hingga kini hanya nama itu saja yang bertakhta di hati. Namun, untuk menyatakan hasrat hati, waktu ini bukanlah masa yang tepat. Dia masih belum tahu apa yang tersirat di hati gadis idamannya. Qis......seandainya kau tahu.

“Belum ada calon,” balas Fauzan.

“Kau bohong,” balas Qismyna. “Beritahulah. Please.....” pujuknya lagi.

“Lelaki macam aku mana ada bidadari yang nak dekat. Kalau orang macam kau pun tak nak kat aku apatah lagi perempuan lain,” gurau Fauzan lagi.

Qismyna menolak tubuh Fauzan dan pintas bangun. Dia geram apabila lelaki itu tidak pernah serius berbicara dengannya. Dia tahu Fauzan berbohong. Mustahil jejaka sekacak Fauzan masih tiada bidadari di hatinya. Fauzan ada segala-galanya.

“Kau nak ke mana?” tanya Fauzan apabila Qismyna berlalu tanpa sebarang kata. Marah di hatinya apabila gagal membuat Fauzan membuka rahsianya.

Fauzan menggelengkan kepala lalu kembali duduk di tempatnya. Qismyna memang begitu. Sering merajuk dengannya. Sejurus dia memandang ke langit.

‘Kalaulah kau tahu dalam hati ini hanya kaulah insan yang amat ku cintai. Kalaulah kau tahu harapan yang ku sandarkan pada mu setinggi langit. Kalaulah kau tahu kaulah insan yang berjaya mencuri hati ini.’



WES meletakkan kedua-dua lengannya di belakang kepala sambil berbaring. Matanya mendongak ke syiling memandang kipas yang ligat berputar. Fikirannya melayang mengimbas kembali detik perkenalannya dengan Farahymma. Kemudian perjalanan cinta yang ditempuhi hingglah di saat perpisahan mereka.

Dia masih ingat lagi waktu itu. Pada ketika itu, Farahymma datang berjumpa dengannya secara mengejut. Mungkin kerana sering mengelak dari berjumpa dengan Farahymma menyebabkan gadis itu mengambil keputusan untuk berjumpa dengannya tanpa pengetahuannya sendiri.

Dia tahu Farahymma mencarinya kerana mendengar khabar bahawa dia akan pulang ke Sabah dan takkan kembali semula ke sini. Farahymma juga tahu kepulangannya kerana akan melangsungkan perkahwinan.

“Apa sebenarnya yang dah berlaku?” itulah soalan Farahymma sebaik saja berkunjung ke pejabatnya. Farahymma tidak terus memarahinya atau menyakiti hatinya. Malah dia meminta penjelasannya.

Sewaktu bertanya soalan itu, dia tahu Farahymma telah cuba sedaya upaya untuk mengawal emosinya. Walau pun begitu, masih terdapat getaran dalam nada suaranya. Wes masih lagi membisu membiarkan soalan Farahymma berlalu begitu.

“Saya dengar awak akan pulang ke Sabah?” tanyanya lagi. Wes mengangguk perlahan. “Untuk selamanya?” soal Farahymma lagi sambil matanya merenung Wes yang entah ke mana penglihatannya di tujukan. Wes mengangguk lagi.

“Maaf kalau kedatangan saya menganggu awak. Tapi kita perlu selesaikan segalanya sebelum awak pergi. Saya perlukan penjelasan.” Farhymma bersuara namun masih dalam kelembutan. “Jangan tinggalkan saya dengan seribu persoalan tanpa jawapan. Saya perlukan jawapan untuk ketenangan diri.”

Wes masih lagi membisu tanpa sebarang suara yang kedengaran. Dia masih lagi mencari kekuatan untuk menjelaskan segala-galanya pada gadis yang dicintainya. Bagaimana untuk dia berterus terang bahawa mereka tidak dapat bersama-sama kerana dia perlu menuruti keinginan keluarganya.

“Saya perlu tahu segala-galanya. Saya tak mahu menyimpan dendam dalam diri.”

Wes membetulkan duduknya. Menegakkan badan lalu menarik nafas dalam-dalam. Dia memandang Farahymma sebentar sebelum membuang pandangannya ke tempat lain.

“Maafkan saya sebab melarikan diri dari awak. Saya tertekan,” ujar Wes memulakan bicara. “Kenangan kita hanya setakat ni.” Mendengar kata-kata Wes, Farahymma memejam matanya sebentar. Memujuk diri agar sentiasa tenang menerima kenyataan. “Saya akan berkahwin dengan gadis pilihan keluarga.”

“Maafkan saya.” Wes menguak rambutnya ke belakang. “Saya tak bermaksud untuk mempermainkan perasaan awak. Saya terpaksa.” Wes melepaskan keluhan. Farahymma lekas menyeka airmatanya. Dia tak mahu kelihatan sedih.

“Saya maafkan awak.” Sebaik saja berkata begitu, Farahymma terus meninggalkannya. Dan sejak itu dia tidak pernah bersua dengan gadis itu sehinggalah dia berjumpa dengannya petang tiga hari lepas di atas bukit.

Wes betul-betul tidak menyangka dia akan berjumpa dengan Farahymma di sana. Dia merasa kesal kerana membiarkan Farhymma berlalu begitu saja. Sepatutnya dia bertegas agar Farahymma mendengar penjelasannya. Sekarang, di mana lagi dia akan mencari gadis itu. Selepas berjumpa dengannya mustahil Farahymma akan ke sana lagi. Inilah yang dirisaukan sekarang ini.

No comments:

Post a Comment