Monday 14 March 2011

Hanya Dia 52

BAB 52


TANGAN Maisara menggenggam erat anak kunci ditangannya. Dia berdiri tegak di depan pintu kamar Suhana. Sejak kamar itu menjadi kamar beradu Suhana dan Fariz, dia tidak pernah menjejak ke kamar itu lagi. Malah, dia tidak pernah terlintas di fikirannya untuk masuk ke situ.

Tetapi malam kelmarin, Maimun telah memberi kunci kamar Suhana dan memintanya untuk mengemaskan kamar itu. Biasanya, Maimun yang akan membersihkan kamar arwah Suhana sebulan sekali. Tetapi Maimun akan menghadiri kenduri kesyukuran bersama Khalid. Jadi dia menyerahkan tugas itu untuk dilakukan Maisara.

Maisara menarik nafas panjang. Anak kunci dimasukkan ke dalam tombol. Dengan lafas bismillah dia menolak daun pintu dan melangkah ke dalam.

Kamar itu kelihatan bersih dan susun aturnya masih belum berubah. Tetap sama ketika kali terakhir dia melangkah ke kamar ini sebelum pernikahan Suhana dan Fariz.

Maisara meletakkan kunci di atas meja lalu memulakan kerja untuk membersihkan kamar itu.

Cadar dan sarung bantal dibuka dan dilipat lalu di letakkan di tepi. Almari kayu dibukanya untuk mengambil cadal dan sarung bantal baru. Maisara memilih dan membelek cadar dan sarung bantal untuk digunakan.

Sedang dia menyelak susunan cadar dan sarung bantal di dalam almari, dia terperasankan sebuah buku yang terselit di antara lipatan cadar dan sarung bantal.

Dia merenung buku itu dan hatinya berkira-kira untuk mengambilnya atau tidak. Namun perasaan yang melonjak-lonjak di dalam hati menyuruhnya untuk mengambil buku itu. Tanpa berfikir lagi buku itu ditarik keluar. Sebuah diari merah berada ditangannya.

Maisara membawa diari merah itu dan duduk dihujung katil. Kulit diari itu dibeleknya. Dengan perasaan yang teruja dan ingin tahu dia membuka dan menyelak terus ke halaman tengah.



9 April 2008.......

Sekali pun tidak pernah terlintas difikiran perkara ini berlaku pada aku. Ya Allah.....apa yang perlu aku lakukan?? Aku buntu!!

Bayi ini......apa yang harus aku lakukan? Banyak kali aku cuba menggugurkannya......Tapi aku tak sampai hati membunuh anakku sendiri walaupun bayi ini tidak ku pinta! Dia tetap anakku!

Kalau aku terus membiarkannya membesar di dalam rahimku.....argh!!!! pasti masyarakat akan menghina keluargaku!!!

Ya Allah!!! Ujian ini terlalu berat untukku. Bagaimana untuk aku hadapinya. Aku bisa kuat jika maruahku dinodai. Tetapi kenapa perlu Kau menambahkan bebanku dengan kandungan ini??!!

Maisara menyelak beberapa muka surat ke depan lagi.



13 April 2008



Sara......Maafkan akak kerana menghancurkan impian indahmu. Akak tak mampu menolak pertolongan Fariz. Hanya itu satu-satunya jalan untuk menyelamatkan maruah keluarga kita dan bayi ini.

Kalau akak seorang sahaja yang di hina dan dicerca, akak sanggup. Tetapi keluarga kita juga akan terkena tempiasnya kalau akak tidak menerima pertolongan Fariz. Bayi akak akan merana seumur hidupnya!

Zack, sampai hati kau tidak mempercayaiku. Setelah bertahun-tahun kita bersama, rupanya kau masih belum benar-benar mengenaliku! Aku tak mungkin berlaku curang padamu. Apa yang berlaku bukan kehendakku! Aku benar-benar mengharapkan kabahagiaan kita bersama. Tetapi apalah gunanya jika kau tak bisa menerima bayi ini....

Anakku, tabahlah.....kerana ujian yang lebih getir akan mengekori dalam setiap langkahmu. Ibu akan sentiasa mendoakan agar kecekalan dan ketabahan akan kukuh dihatimu, anakku.......



Kak Su dinodai? Bermakna......Kak Su hanyalah mangsa keadaan?

Maisara memberhentikan bacaannya. Rasanya dia perlu lebih keberanian untuk terus membaca. Pasti pelbagai lagi kejutan yang akan terkandung di dalamnya. Dia menutup diari itu. tanpa disangka sepucuk surah terjatuh di atas ribaannya.

Sampul yang berwarna merah jambu dan tertulis ‘Buat Maisara’ di depannya di belek Maisara.

Surat ini untukku....??

Dengan perasaan yang berbelah bahagi, Maisara mengoyak sampul dan menarik lembaran di dalamnya. Lipatan lembaran itu di bukanya.

Helaian pertama dibacanya dengan linangan airmata.....



Salam buat adik kesayanganku.........

Pertama sekali akak mohon ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Akak juga mohon adik ampunkan Fariz. Bukan niat kami untuk menghancurkan perasaanmu adikku. Ketahuilah adikku, Fariz sangat menyintaimu. Adik beruntung kerana lelaki sebaik dan sesempurna Fariz sangat sayangkan adik.

Lembaran ini bukanlah bertujuan untuk mengganggu emosimu. Untuk meleraikan kekusutan di fikiranmu, lembaran ini bertujuan untuk menceritakan segala-galanya yang terjadi pada akak sehinggakan akak sanggup menghancurkan kebahagiaanmu. Dan akak berharap selepas ini, ada kemaafan darimu, adikku.....



SUHANA yang merupakan jururawat peribadi yang dihantar oleh Doktor Helmi telah ditugaskan untuk menjaga seorang pesakit yang sudah separuh umurnya dan mengalami sakit jantung. Hampir tiga bulan setelah tamat latihan di hospital kerajaan, dia diterima bekerja dengan Doktor Helmi yang mempunyai sebuah klinik dan dalam masa yang sama Doktor Helmi juga bekerja di hospital swasta.

Jika pihak hospital memerlukannya, mereka akan menghubunginya. Jika tidak, biasanya dia hanya di klinik merawat pesakit yang biasanya juga berisiko untuk mendapat serangan jantung. Doktor Helmi merupakan seorang pakar sakit jantung dan bercita-cita untuk membuka hospitalnya sendiri.

Sudah sebulan Suhana berada di banglo besar itu dan menjaga pesakit Doktor Helmi. Kali pertama Suhana melangkah ke dalam banglo ini hatinya berdebar-debar kerana inilah pertama kali dia ditugaskan untuk menjadi jururawat peribadi kepada orang kaya itu.

Satu pengalaman yang sukar dilupakan saat kakinya menjejak kawasan rumah mewah itu. Banglo itu memang cantik dan sangat mengagumkan tetapi dari pandangan yang lain banglo itu boleh diibaratkan seperti sangkar emas.

Walau baru sebulan dia di situ, dia dapat merasakan kesunyian dan kesepian di setiap isi rumahnya. Di sana juga terdapat ramai pekerja tetapi para pekerja tidak bisa bergerak bebas tanpa arahan dari tuannya. Rumah mewah yang didengarinya dari perbualan pekerja di situ sebagai Rumah Warisan itu, sangat menyentuh jiwanya. Setiap kali berada di situ, serta merta jiwa Suhana akan menjadi sayu. Sayu pada kesepian, sayu kerana ianya terhias indah tetapi tidak terhias bersama bahagia.

Itulah firasat Suhana. Malah menurut cerita pekerja di situ, Tuan Syed yang menghuni di Rumah Warisan mempunyai seorang anak perempuan yang tinggal berasingan dengannya. Isteri Tuan Syed pula sering keluar negara meninggalkan suaminya.

Kata mereka lagi, isteri Tuan Syed baik dan lemah lembut orangnya, namun kerana tidak tahan dengan sikap baran Tuan Syed isterinya itu kerap membawa diri. Sikap Tuan Syed semakin dingin dengan isterinya apabila isterinya itu masih belum bisa memberi zuriat lelaki untuknya.

Pernah juga beberapakali isterinya mengajaknya untuk keluar melancong bersama, tetapi Tuan Syed sering menolak. Apa yang penting untuk Tuan Syed adalah kerjayanya dibandingkan dengan keluarganya sendiri. Mungkin kerana bosan dengan keluarganya yang suka membawa diri masing-masing, akhirnya anak perempuannya juga meninggalkan rumah itu dan tinggal sendirian. Anak perempuannya itu juga sering berkecil hati dengan Tuan Syed kerana kurang diberi perhatian semata-mata kerana dia adalah anak perempuan.

Namun sesekali ada juga anak perempuan mereka datang ke Rumah Warisan. Tetapi biasanya jika dia datang, Tuan Syed jarang menghabiskan masanya dengan anak perempuannya itu. Jika isterinya ada di rumah, hanya si ibu itu yang melayani anaknya.

Entah apalah nak jadi dengan dunia sekarang. Manusia zaman sekarang sudah tidak ambil peduli tentang orang lain walaupun anak sendiri. Masing-masing begitu pentingkan diri. Mujurlah dia memiliki keluarga yang bahagia. Walaupun sederhana tetapi cukup sempurna.

Seperti biasa pagi itu Suhana ke Rumah Warisan. Sampai sahaja di sana dia terus melakukan rutin hariannya.

Dia ke kamar yang disediakan untuk keperluannya dan rakan sekerjanya, Syikin yang juga merupakan jururawat peribadi Tuan Syed. Tetapi Syikin hanya menjaga Tuan Syed dari jam enam petang hingga keesokan pagi. Pagi esokknya, dia akan mengambil alih semula tugas menjaga Tuan Syed dari Syikin.

Setelah mengambil ubat-ubatan yang perlu diberikan untuk Tuan Syed, dia meletakkan di dalam dulang dan terus meluru ke kamar mewah yang terletak di tingkat atas.

Belum sempat kaki memanjat anak-anak tangga, Che Enon, tukang masak di rumah itu menahannya.

“Tuan ada di bilik kerja!” beritahunya.

Suhana mengangguk lalu mengucapkan terima kasih. Langkahnya diatur ke kamar kerja Tuan Syed yang terletak di sebelah ruang tamu. Tuan Syed memang kerap menghabiskan masanya di kamar kerja itu. Kadang-kala dia sering melihat Tuan Syed tertidur di kamar kerja semalaman. Entah apalah yang difikirkan lelaki itu. tiadakah ruang rehat dalam kamus hidupnya?

Setelah mengetuk pintu beberapakali, Suhana melangkah ke dalam. Dia mengetap bibir melihat Tuan Syed yang sedang terlena di meja kerjanya.

Suhana meletakkan dulang ubat-ubatan di kabinet tepi lalu dengan perlahan mengejutkan lelaki itu. Tentu Tuan Syed melakukan kerja hingga lewat malam sehingga tertidur di situ. Dia melirik sekejap jam ditangan yang menunjukkan angka lapan. Sekali lagi dia mengeluh.

Memang dia sedikit kesal dengan cara hidup penghuni Rumah Warisan ini. Adakalanya kerana terlalu mengejar dunia sehingga mereka mengambil mudah amalan yang wajib. Kalau jam sebegini masih belum bangun dari tidur, pastinya Tuan Syed juga tidak bangun untuk bersolat pagi tadi.

Sebelum syak wasangkanya kian berlanjutan, Suhana beristighfar lalu kembali mengejutkan Tuan Syed.

Pantas Suhana menginjak ke belakang sedikit setelah dia melihat Tuan Syed sudah membuka matanya. Dalam keadaan mamai Tuan Syed mengangguk padanya.

Melihatkan anggukan itu, Suhan meneruskan rutinnya dengan mengambil tekanan dan mendengar degupan jantung Tuan Syed. Setelah menulis sesuatu dalam buku laporannya, Suhana kembali dengan membawa dulang ubat-ubatan yang perlu dimakan Tuan Syed pagi itu.

Tetapi kemudian langkahnya terhenti apabila menyedari sudah pastinya Tuan Syed masih belum mengambil sarapan paginya.

“Tuan Syed tunggu sekejap nanti saya minta Che Enon bawakan sarapan untuk Tuan Syed.”

“Tak perlulah! Saya tak ada selera nak makan. Biar saya bersihkan badan dulu. Nanti saya sarapan.”

“Maaf, Tuan Syed. Tapi Tuan Syed perlu mengambil ubat mengikut waktu. Kalau Tuan Syed tak mahu bersarapan dulu, nanti saya bawakan milo dulu ye. Lepas makan ubat, Tuan Syed boleh naik ke atas dan bersihkan diri,” cadang Suhana.

Melihatkan anggukan Tuan Syed pantas Suhana menghilang dan muncul kembali bersama segelas milo ditangannya. Milo itu diserahkan kepada Tuan Syed. Setelah habis segelas milo itu, satu persatu ubat yang perlu diambil diberi pada Tuan Syed untuk dimakan bersama segelas air kosong.

Setelah itu Tuan Syed terus meninggalkan kamar kerjanya dan naik ke kamarnya untuk membersihkan diri. Suhana mengemas meja Tuan Syed yang bertaburan dengan fail. Memang itu bukan kerjanya, namun kerjanya adalah untuk menjaga dan memastikan Tuan Syed dalam keadaan baik. Secara tak langsung dengan membantu meringankan kerja Tuan Syed bermakna dia telah menjaga Tuan Syed seperti yang diperintahkan Doktor Helmi.

Kemudian, dia membawa dulang ubat-ubatan itu keluar dan menyimpannya semula. Langkahnya diatur menuju ke dapur. Tugasnya di rumah itu juga adalah untuk memastikan pengambilan makanan Tuan Syed mengikut diet seimbang yang disediakan Doktor Helmi. Jadi setiap pemakanan Tuan Syed harus dijaganya.

“Sarapan apa pagi ni Che Enon?” tanya Suhana.

Che Enon tersenyum sumbing dengan raut wajah bersalah. Berkerut kening Suhana.

“Pagi ni Che Enon buatkan nasi lemak untuk Tuan Syed....” Malu-malu dia berkata. “Sebenarnya, Tuan Syed yang minta Che Enon buatkan nasi lemak. Teringin agaknya.”

“Nasi lemak?” Suhana mengeluh. “Okey.....tapi jangan bagi Tuan syed makan banyak ye. Tak bagus untuk kesihatan dia. Bukan saja dia, kita yang tak sakit ni pun tak boleh kerap-kerap makan nasi lemak, tau!”

“Faham Su....” Che Enon tersenyum. Lega hatinya kerana Suhana tidak marah padanya.

“Che Enon letak sikit je tau!” Tegas Suhana. “Lepas tu, bancuhkan oat untuk Tuan Syed ye...”

“Baik Su!” Turut Che Enon tanpa banyak soal.

Che Enon menghidangkan sarapan di atas meja sebaik sahaja melihat Tuan Syed sudah kembali dari tingkat atas.

“Mari sarapan bersama saya!” ujar Tuan Syed sehinggakan ucapan yang kedengaran biasa itu membuatkan Suhana terbeliak biji matanya dan Che Enon tergamam.

“Kenapa? Ada yang tak kena?” Tuan Syed memandang Suhana dan Che Enon silih berganti.

Suhana menggeleng dan Che Enon terus berlalu ke dapur semula.

“Mari....” pelawa Tuan Syed sekali lagi. Suhana menggeleng.

“Tak mengapa, Tuan Syed. Saya dah bersarapan,” tolak Suhana.

Tuan Syed mengangguk lalu menikmati sarapannya sambil diperhatikan Suhana yang berdiri di sisinya.

Satu perkara ajaib buat Suhana apabila Tuan Syed mempelawanya duduk bersarapan bersama. Selama sebulan berada di sini belum pernah Tuan Syed mengajaknya atau mana-mana pekerja untuk duduk semeja dengannya. Biasanya, dia hanya akan berdiri di sebelah Tuan Syed untuk menemani lelaki itu menikmati hidangannya.

Usai bersarapan, Suhana mengikuti Tuan syed ke pejabat. Memang sudah menjadi tugasnya untuk mengikut ke mana sahaja Tuan syed pergi untuk memastikan kesihatan Tuan Syed terjaga.

Biasanya di pejabat, ketika Tuan Syed sibuk dengan kerjanya, dia akan menghabiskan masa di perpustakaan yang berada di dalam pejabat itu. Bila sampai waktu untuk dia memeriksa Tuan Syed, baru dia akan ke kamar kerja lelaki itu atau bila-bila masa dia diperlukan Tuan Syed, dia akan segera ke sana.

Jam enam petang, Syikin masih belum menampakkan batang hidungnya. Lima minit kemudian, dia menerima pesanan dari Syikin yang memberitahu dia akan terlewat sedikit. Dia akan datang jam lapan malam nanti namun sebabnya tidak dinyatakan. Malang benar nasib Suhana. Dia baru berniat untuk pulang dan singgah di kompleks sekejap.

Suhana dihubungi pembantu peribadi Tuan Syed. Setelah itu dia terus ke kamar kerja Tuan Syed. Tuan Syed mahu pulang lebih awal pada hari itu. Biasanya selagi angka tidak menunjukkan angka lapan malam, lelaki itu masih belum mahu berganjak pulang dan kemudian meneruskan kerjanya di rumah. Tetapi hari ini, lelaki itu mahu pulang lebih awal.

Tanpa banyak soal, Suhana pulang ke Rumah Warisan bersama Tuan Syed. Dalam perjalanan pulang Suhana memberitahu tentang kelewatan Syikin dan dia akan menggantikan Syikin sehingga jururawat itu tiba di Rumah Warisan.

Setelah melaporkan pada Tuan Syed tentang kelewatan Syikin, Suhana kembali ke ruangan ubat. Sementara menunggu untuk memeriksa Tuan Syed sekejap nanti, dia mengambil kesempatan untuk memeriksa setiap ubatan dan multivitimin yang disediakan Doktor Helmi. Dia masih baru dalam bidang ini, jadi walaupun dia telah menamatkan pengajian dia tetap perlu belajar.

Sedang ralit membaca label di setiap botol, Suhana sedikit terkejut apabila mendengar jam dinding berbunyi tujuh kali. Dia beristigahfar sebentar. Sekejap lagi waktu Maghrib akan menyusul. Jadi dia terus ke dapur mencari Mak Enon.

Biasanya Che Enon dengan senang hati untuk membenarkan mereka tumpang membersihkan diri dan bersolat di bilik kecilnya. Setelah meminta keizinan, Suhana terus membersihkan diri dan dan bersolat setelah sampai waktunya.

Usai mengerjakan yang wajib, dia kembali ke bilik ubatan. Dia mengatur ubat-ubatan dan mengambil peralatan yang perlu dan melangkah untuk ke kamar kerja Tuan Syed setelah mendapat tahu Tuan Syed berada di situ.

Namun secara tak sengaja dia terlanggar bucu kabinet sehingga membuatkan botol-botol ubat yang berada di dalam dulang bertaburan. Jantung Suhana tiba-tiba sahaja berdegup kencang. Satu perasaan aneh menyelinap. Setelah beristighfar beberapakali dan memujuk hati untuk tenang, dia kembali mengutip botol-botol yang bertaburan.

Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Dalam hati, dia bermohon pada Tuhan agar sentiasa melindungi mereka sekeluarga.

4 comments:

  1. x kn tuan syed yg rogol suhana kot???
    cpt2 la smbung k.

    ReplyDelete
  2. yg penting, maisara tahu yg Fariz.....telah berkorban demi kakaknya.........
    apapun, i follow..................

    ReplyDelete
  3. Jahanam tul. Tu msti tuan syed yg sombong tu. Bapak saudara si Zack tunya angkara. laknat betul org tua tu. Biar nnti Zack tau n p belasah org tua xsedar diri tu. N mesti ank pompuan dia tkejut nnti bila dia bt siasatan sbb fariz kahwin Suhana.

    ReplyDelete
  4. salam..kesian suhana..dan fariz..zack.n sara..takdir yg tersurat..tlh menyebabkan ini berlaku..kenapa la suhana tak bagitau keluarganya..bukan salah dia..ia adalah mangsa keadaan..baiknya hati..fariz..bagai malaikat..kalau gitu..aiman dan liyana adik beradik la...i like..i like..apa apa tahniah...buat writer..

    ReplyDelete