Wednesday, 3 March 2010

Saat hati Merelakan 34

KEESOKAN paginya, selesai bersolat Subuh mereka beramai-ramai bergambar dengan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu.


Memang indah suasana di pagi hari. Seawal jam enam pagi matahari belum muncul tetapi sinarnya sudah kelihatan. Memang benar kata mereka, Puncak Gunung Kinabalu jelas kelihatan di pagi hari.

Namun ketika jam menganjak ke pukul sembilan pagi kelihatan kabus-kabus mula menutupi puncaknya.

Selesai sahaja bersarapan mereka terus mendaftar keluar. Kemudian mereka bertolak pulang ke Kota Kinabalu.

Sesampai sahaja di sana, mereka tidak terus pulang ke rumah. Mereka menuju ke Pasar Kraftangan. Terdapat banyak cenderahati dan tanda ingatan yang cantik dan unik. Sehingga Qismyna sendiri tidak tahu untuk memilih yang mana.

Si Kembar turut membantu kakak iparnya itu untuk memilih. Qismyna memilih key-chain yang berukiran bunga pakma, Gunung Kinabalu dan pelbagai bunga dan haiwan sebagai cenderahati untuk pekerja-pekerjanya.

Dia juga membeli sepuluh batang pensil kayu yang berukiran perkataan ‘Sabah’ dan juga dihiasi sekuntum bunga dipangkalnya.

Tetapi dia masih berkira-kira cenderahati apa yang sesuai untuk keluarganya. Tiada satu pun yang dirasakan sesuai untuk diberi untuk mereka. Si Kembar juga bingung untuk memberi idea.

“Hah!” Maria bersuara sambil tersenyum. Qismyna dan Lina memandangnya. “Apa kata malam ni kita pergi Nite Market. Kat sana banyak mutiara. Murah tapi asli!”

“A’ah lah.....” sokong Lina. “Betul Kak Qis. Mutiara pun cantik sebagai cenderahati.”

Setelah bersetuju dengan cadangan Si Kembar, mereka mencari kelibat yang lain dan menyertai mereka.

Mereka singgah di Restoran Sri Melaka untuk makan tengahari sebelum bertolak pulang ke rumah.



MALAM itu sebaik sahaja Qismyna mengemas semua barang-barangnya untuk pulang keesokan pagi, dia bersiap untuk keluar bersama Si Kembar ke Nite Market. Tetapi malang nasibnya kerana terpaksa keluar bersama dengan Wes.

Kononnya, Si Kembar tidak dapat ikut kerana sakit perut. Dia tahu, itu semua alasan agar dia keluar berdua dengan Wes. Dia juga tahu niat mereka semua baik untuk satukannya dengan Wes. Namun mereka semua tak faham situasi dia dan Wes disaat ini. Hanya dia dan Wes sahaja mengerti yang mereka berdua tidak boleh bersama tanpa ada rasa cinta.

Mereka berdua berjalan kaki menuju ke Nite Market memandangkan ia terletak tidak jauh dari kawasan perumahan. Dalam perjalanan mereka berdua membisu, melayani fikiran masing-masing.

Sesekali Qismyna akan mendongak memandang ke langit mencari-cari jika ada bintang di malam itu. Namun malangnya, malam itu kelihatan kelam dan suram. Tiada bintang, tiada bulan dan tiada kegembiraan yang dirasakan.

Tetapi dia tidak tahu mengapa dia asyik memandang ke langit mengharapkan ada sebutir bintang yang kelihatan walaupun dia tahu tiada bintang di malam itu menandakan hari akan hujan.

Dek kerana asyik mendongak ke langit dia tidak perasankan tunggul besi yang berada di depannya, dia tersepak tunggul itu. Dia terjerit kecil. Badannya tidak dapat diimbang.

Namun belum sempat tubuhnya jatuh ke bumi, dengan pantas Wes merangkul pinggangnya. Tangan kanan Qismyna melingkari leher lelaki itu.

“Itulah. Orang jalan tengok depan! Bukan tengok atas!” Wes melepaskan rangkulannya. Qismyna juga melepaskan tangannya yang melingkari leher Wes. Dia terasa malu dengan dirinya sendiri. Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati.

Wes berlalu meninggalkannya. Terdengar rungutan dari bibir lelaki itu. Walaupun merasa malu dan marah dengan dirinya sendiri tetapi Qismyna terasa lucu . Sepanjang jalan dia tertawa kecil. Takut jika Wes terdengar tawanya.

Sebaik sahaja tiba di Nite Market, Qismyna mula mencari-cari cenderahati istimewa untuk keluarganya.

Nite Market yang dimaksudkan sama seperti pasar malam biasa. Tetapi bezanya, di sini kebanyakkan peniaganya menjual mutiara dan batu air dan perbagai lagi jenis batu yang dia sendiri sukar unruk menyebutnya.

Dan Nite Market ini juga dibuka pada setiap malam tidak seperti di Pulau Pinang yang pasar malamnya diadakan pada hari tertentu sahaja.

Setelah puas membeli beberapa jenis keronsang mutiara dan beberapa jenis rantai tangan mutiara, mereka mula bergerak pulang.

Nasib mereka malang sekali. Baru beberapa langkah mereka meninggalkan kawasan itu, hujan turun dengan lebat.

Wes menarik tangan Qismyna dan membawanya berteduh di bawah bangunan yang berdekatan. Masing-masing telah pun dibasahi hujan.

Qismyna membetul-betulkan rambutnya yang basah. Dia membuka jam tangannya dan menyimpan di dalam beg tangan. Mereka menunggu lebih kurang setengah jam. Namun tanda-tanda hujan akan berhenti tidak kelihatan.

Akhirnya, Wes membuka jaket yang dipakainya. Dia menutup kepalanya dan Qismyna. Qismyna terkejut. Tetapi kemudian mengangguk memahami kehendak Wes.

Sambil berlari di dalam hujan, Wes memeluk bahu Qismyna agar dekat dengannya. Dalam diam, Qismyna rasa seperti dihargai.

1 comment:

  1. hohohoho....
    crta ni berbelit-belit....
    hmmmm....
    gud job...

    ReplyDelete