Monday, 22 March 2010

Saat Hati Merelakan 43



SEPERTI biasa selepas solat subuh, Qismyna akan berjoging di kawasan rekreasi berdekatan dengan rumahnya. Setelah tubuhnya merasa segar, dia akan kembali semula ke rumah dan bersiap untuk ke cafe.

Biasanya, selepas dia pulang dari berjoging, Wes telah pun menghilang ke tempat kerja. Tetapi pagi itu Wes masih lagi berada di dalam bilik dan sedang kusyuk mengadap komputer. Dia tertanya-tanya sendiri kenapa lelaki itu masih belum bertolak ke pejabat.

“Kenapa tak ke pejabat lagi? Cuti ke?” tanya Qismyna. Wes berpaling sebentar lalu mengadap komputer kembali. Qismyna menjungkitkan bahunya dengan tindakan Wes yang tidak menjawab pertanyaannya lalu menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Sebaik sahaja mandi, dia mula bersiap-siap. Wes masih lagi seperti tadi. Ingin ditanya, tetapi niatnya di matikan sahaja. Setelah berpuas hati melihat dirinya di cermin, dia berkira-kira untuk turun ke bawah dan bersarapan. Sebelum itu, sempat dia melirik jam di tangan yang menunjukkan pukul sembilan pagi.

“Qis,” panggil Wes. Qismyna menghentikan langkahnya.

“Hari ni, kita keluar sama-sama. Balik nanti kita balik sekali.” Qismyna terkedu seketika. Pelik dengan kelakuan Wes. Angin timur laut dah sampai kot! Qismyna hanya mengangguk.

Mereka turun bersama-sama dan menuju ke meja makan yang telah pun tersedia dengan sarapan pagi. Tiada sesiapa pun di situ. Tuan Malik dan Ariff sudah tentu telah ke pejabat. Zurin pun telah ke kelas. Puan Suria pula sudah bersarapan bersama-sama suaminya. Dan sekarang, dia sedang menyiram pokok bunga di laman.

Sebelum melangkah keluar, mereka bersalam dengan Puan Suria. Puan Suria yang melihat mereka berdua keluar bersama tersenyum penuh makna. Dalam hatinya tahu, mereka berdua hanya memaksa diri kerana ingin berpindah dari rumah itu. Namun, di dalam hatinya mengharapkan agar lakonan anak dan menantunya akan menjadi kenyataan.

“Dari semalam, saya tengok awak ni peliklah. Ada apa-apa ke?” Qismyna bertanya semasa dalam perjalanan. Wes memandang sekilas pada Qismyna.

“Tak de apa yang pelik. Saya buat semua ni kerana syarat orang tua awak.”

“Kalau ye pun takkanlah sampai lewat masuk pejabat.”

“Sebenarnya, hari ni saya tak kerja. Saya nak ikut awak ke cafe.” Qismyna terlopong sekejap. Dia melihat Wes dari atas ke bawah. Untuk apa lelaki itu mengenakan kemeja dan slack kalau hanya nak ke cafe.

“Saya tak fahamlah awak ni. Kalau ye pun nak berlakon, tak payahlah melampau sangat. Siapa nak perhatikan kita kat sana?” Qismyna menggelengkan kepala sebentar. Wes tersenyum.

“Tak delah macam tu. Saya memang cuti hari ni. Saya nak ke cafe pun sebab nak check beberapa payment yang awak belum buat untuk Visma Corporation. Lagi pun semalam Sean, programmer yang create program untuk awak ada beritahu yang Salmi ada telefon dia dan minta dia datang cafe. Ada problem dengan program tu. Dah kebetulan saya nak cafe saya nak tengok juga apa masalahnya.”

“Ni kira free duty lah ni?” Qismyna bertanya. Dia sendiri tak faham kenapa Wes nak mengambil alih tugas kakitangannya. Sedangkan dia adalah pengurus syarikat bukan pengurus akaun atau pegawai bawahan.

“Sekarang baru pukul sepuluh pagi. Cafe buka pukul dua belas tengahari. Masih banyak masa lagi.”

“Kenapa awak selalu masuk awal? Sedangkan cafe tu hanya buka jam dua belas tengahari. Ada apa-apa ke yang saya tak tahu?” Qismyna ketawa kecil mendengar pertanyaan Wes. Bunyi macam lelaki itu sangsi padanya. Tapi untuk apa? Lainlah jika mereka bercinta dan Wes sangsi dengan kejujurannya.

“Kenapa?”

“Sajalah saya tanya. Nak juga tahu apa yang awak buat datang awal ke sana.” Wes kelihatan agak gelabah sedikit. “Manalah tahu kalau-kalau ada orang tanya pada saya. Sekurang-kurangnya saya dah bersedia.” Qismyna tersenyum sinis sambil memandang Wes sekilas.

“Kalau banyak kerja memang saya masuk awal. Tu pun kira taklah awal sangat, sebab biasanya jam enam petang saya dah balik. Kalau saya masuk jam sepuluh dan balik lima petang, sehari saya hanya berkerja tujuh jam. Kadang-kadang kalau tak banyak kerja, biasanya saya keluar dengan Fauzan. Minum-minum.”

Patutlah sawaktu Wes mencari Qismyna di cafe tempoh hari, Qismyna masih belum masuk kerja. Sedangkan Qismyna telah keluar dari rumah jam sembilan setengah seperti biasa. Tiba-tiba, Wes rasa tak keruan. Dia tak suka mendengar nama Fauzan. Apatah lagi mengenangkan lelaki itu adalah calon menantu yang dipilih untuk Qismyna.

“Kenapa awak keluar dengan dia? Tanpa pengetahuan saya pula tu. Apa kata orang kalau lihat awak dengan dia?!” Tiba-tiba sahaja Wes meninggikan suara.

“Yang awak nak marah-marah ni apasal? Fauzan tu sepupu saya! Takkan ada cerita buruk antara saya dengan dia!” Qismyna mendengus geram dengan sikap Wes yang tak menentu.

Wes terkedu seketika. Memang benar mereka bersaudara. Tapi ada rasa tak senang dalam diri Wes apabila mengetahui mereka sering keluar bersama. Wes cuba mencari alasan agar Qismyna tidak lagi keluar bersama dengan Fauzan.

“Memanglah dia tu sepupu awak. Tapi, dia tu bakal tunang awak dulu. Tentu orang akan berkata yang bukan-bukan.”

“Encik Iskandar alias Encik Wes......” Qismyna menyebut nama sebenar Wes. “......buat pengetahuan encik tiada siapa pun tahu yang saya pernah hampir bertunang dengan dia melainkan teman dan saudara terdekat sahaja. Sebab majlis pertunangan saya telah digantikan dengan majlis perkahwinan kita. Jadi, tak payahlah Encik Iskandar risau tentang tu, okey?!”

“Tapi....awak mesti berhati-hati! Manalah tahu kalau-kalau......”

“Fine! Kalau Encik Iskandar tak suka, apakata hari ni kita keluar minum bersama. Tentu tiada orang yang akan curiga,kan?” Hati Qismyna mula panas.

“Stop calling me Encik Iskandar!”



SAMBIL menyandarkan badannya di kerusi, matanya melilau memandang sekitar pejabat itu. Kemudian dia mencapai foto yang terletak di kanan meja. Kelihatan gambar Qismyna yang sedang tersenyum riang. Tanpa disangka dia juga mengukir senyuman sebagai membalas senyuman itu.

Kemudian, dia meletakkan semula foto itu di tempat asalnya. Dia melirik jam di tangan. Hampir sejam Qismyna keluar dari pejabatnya kerana membantu Salmi menyemak stok-stok peralatan tulis yang baru sampai. Hampir sejam juga dia berada di pejabat Qismyna menantikan gadis itu kerana mereka telah berjanji untuk makan malam bersama.

Sebentar tadi Sean datang untuk melihat program yang digunakan. Dia juga turut membantu dan belajar beberapa perkara dari Sean. Dia bukanlah seseorang yang mahir dalam bidang itu. Hanya mengambil tahu untuk menambahkan pengetahuan. Hampir lima jam dia melihat dan membantu Sean menyelesaikan masalah yang timbul.

Tiba-tiba pandangan matanya jatuh kepada sebuah diari biru yang dilekatkan gambar kartun Pooh di atasnya. Pantas tangannya mencapai. Dia membaca beberapa helaian yang tertulis. Diari itu bukanlah diari peribadi melainkan diari temujanji dan catatan kerja. Terdapat juga beberapa tanda mengingati tarikh lahir.

Tetapi yang menariknya di dalam diari itu banyak gambar Winnie The Pooh yang dilekatkan. Mungkin juga Qismyna sukakan kartun itu.

‘Macam budak-budak.’ Desus hati kecilnya. ‘Tapi dia pun masih muda.’ Perbezaan umur antara dia dan Qismyna menjangkau enam tahun. Qismyna baru berusia dua puluh tiga tahun.

Kemudian matanya terpaku pada helaian muka yang dihias cantik dan ditulis dengan besar. Satu tarikh tercatat iaitu tarikh lahir Qismyna. Dia tersenyum sendiri. Selama ini dia tahu usia gadis itu tapi belum mengetahui tarikh lahir gadis itu.

Dia melirik jam ditangan lagi. Hampir jam tujuh malam. Tadi dia telah pun menelefon ke rumah dan berpesan pada Mak Yam supaya tidak menyediakan makan malam untuk mereka berdua.

Dia bangun dan berjalan menuju ke pintu untuk keluar mencari Qismyna. Belum sempat pintu dibuka, pintu itu telah terbuka dari luar. Kelibat Qismyna muncul.

“Maaf. Lama awak tunggu?” tanya Qismyna. Sambil berjalan ke mejanya dan mengemas barang-barang. Inilah sikap Qismyna yang berbeza dari hari pertama dia mengenali gadis itu. Sebenarnya, gadis itu tidak lokek mengungkapkan kata maaf.

“Jom,” ajak Qismyna dan terus keluar. Wes membontoti di belakang.

Wes yang memandu kereta hanya memandang ke depan. Dia memandu menuju ke Telok Tempoyak. Sesampai sahaja pelayan di restoran itu membawa mereka ke meja yang telah ditempah khas.

Wes menarik kerusi dan memberi Qismyna duduk. Setelah Qismyna mengucapkan terima kasih dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang berhadapan dengan Qismyna.

“Awak dah tempah?” tanya Qismyna yang merasakan layanan Wes agak pelik pada hari itu. “Makan pun awak dah tempah?” Wes mengangguk dan kemudian berkata.

“Nasi putih, ikan siakap masak tiga rasa. Sotong goreng tepung, sayur kangkung dan udang bakar.” Dia tersengih memandang Qismyna. “Ops.....satu lagi. buah-buahan untuk pencuci mulut.”

“Banyaknya!” Qismyna terkejut. Dia sendiri tidak pernah makan sebanyak itu. Memang benar hanya empat hidangan tetapi dia tidak biasa makan sebanyak itu. Selalunya, Mak Yam akan masak lima jenis lauk untuk mereka sekeluarga dan dia hanya akan makan dua daripadanya.

“Tak pe. Kalau tak habis, saya habiskan.” Selamba Wes berkata begitu.

Tak lama kemudian satu persatu hidangan yang ditempah mula dihidangkan di atas meja. Wes telah pun mula memegang sudu dan garpu tetapi Qismyna hanya terpaku memerhatikan lauk yang banyak itu.

“Tunggu apa lagi? Makanlah. Jangan risau. Saya belanja.” Qismyna menjeling Wes. Kemudian dia pun mula meratah hidangan yang disediakan.

“Saya masih tertanya-tanya......” Qismyna memandang Wes. “....kenapa awak baik sangat dengan saya hari ni?”

“Kan kita kena berbaik-baik.”

“Betul. Tapi tak payahlah sampai kat luar rumah. Saya rasa peliklah.” Wes terus memandang Qismyna apabila Qismyna berkata begitu.

“Habis......kat luar rumah kita kena bergaduh ke?” tanya Wes agak kasar sedikit.

“Bukanlah macam tu....” Qismyna menjeling sekilas. Wes tersenyum. Ada kalanya jelingan Qismyna memang menyakitkan hati tetapi ada kalanya dia suka melihat jelingan itu.

“Saya tak nak bergaduh dengan awak, cuma......tak payahlah nak melebih-lebih pula. Orang kat luar ni bukannya tahu masalah kita. Kita buat macam biasa sudahlah.”

“Macam biasa macam mana?” Wes meletakkan camca dan garpu dan menongkat dagunya memandang terus pada Qismyna.

“Buat macam biasalah.......awak uruskan hal awak. Saya uruskan hal saya. Lagi pun, kan saya dah beritahu pada awak yang saya tak nak jadi pontianak dalam hidup awak lagi.”

“Tapi saya masih nak jadi mimpi ngeri awak.” Wes tersenyum pada Qismyna yang memandangnya tajam. Kemudian dia mengenyitkan matanya untuk menyakitkan hati gadis itu. Qismyna hanya menjeling geram.

Selesai makan malam, mereka berdua bertolak pulang ke rumah. Sebaik sahaja memberi salam dan membuka pintu, semua mata memandang ke arah mereka. Zuril pula tersengih memandang Qismyna.

Setelah bersalam dengan ibu dan ayah mertuanya, Wes berlalu ke bilik. Qismyna masih lagi berada di situ merehatkan badan di ruang tamu bersama yang lain.

Puan Suria dan Tuan Malik berpandangan sebentar lalu menjatuhkan semula pandangan mereka kepada Qismyna. Walaupun kelihatannya Qismyna dan Wes cuba berbaik-baik namun masih jelas dalam pandangan tua mereka bahawa anak menantu mereka masih tidak dapat menerima antara satu sama lain.

.

No comments:

Post a Comment