Thursday, 11 March 2010

Saat Hati Merelakan 38

KENAPA?” Farahymma mengerutkan keningnya. Salmi menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.


Lantas Farahymma meletakkan buku-buku yang di pegangnya di atas kaunter. Dia berjalan menuju ke pejabat majikannya.

Pintu diketuk. Setelah mendengar suara yang menyuruhnya masuk, barulah dia membuka pintu dan masuk ke dalam.

“Duduk,” suruh Qismyna tanpa memandang wajah di hadapannya. Farahymma hanya menurut. Qismyna masih leka meneliti laporan bulanan.

“Ada apa Cik Qis panggil saya?” tanya gadis itu apabila tidak terdapat tanda-tanda majikannya untuk bersuara.

Mendengar saja pertanyaan Farahymma, pantas Qismyna mengangkat kepala dan memandang gadis itu.

“Saya mengganggu kerja awak ke?”

“Eh tak......tak Cik Qis. Saya........”

“Okey macam ni. Saya ada hal sikit nak bincang dengan awak. Tapi bukan hal kerja.....hal peribadi,” ujar Qismyna tanpa berselindung.

“Hal peribadi?” Farahymma mengerutkan keningnya.

Seingatnya, inilah pertama kali dia bertentang mata dengan Qismyna selain waktu temuduga dahulu. Jadi, perkara peribadi apa yang dimaksudkan?

“Sejak akhir-akhir ni saya lihat ada seorang lelaki sering berjumpa dengan awak.”

“Oh......lelaki tu......Dia memang selalu datang sini. Tapi itu pun pada waktu makan saya, Cik Qis. Dia tak mengganggu kerja saya,” ujar Farahymma pantas. Sedari tadi memang dia telah mengagak kenapa dia disuruh masuk berjumpa dengan Qismyna. Tetapi apabila Qismyna mengatakan urusan peribadi, dia tidak dapat menangkap perkara yang ingin dibincangkan.

“Oh....Ye ke?” Qismyna menyandarkan tubuhnya di kerusi. Menyelesakan lagi kedudukannya. “Tapi banyak kali juga saya lihat dia di waktu kerja awak.”

“Maaf Cik Qis. Memang ada dua tiga kali dia datang dalam waktu kerja saya. Tapi saya tetap jalankan tugas saya. Dia tak menganggu kerja saya.” Bersungguh-sungguh Farahymma menyakinkan majikannya. Dia tidak mahu Qismyna memandang serong pada kualiti kerjanya.

“Okey......tak pelah kalau macam tu.” Qismyna diam seketika. “Tadi awak keluar makan dengan dia ke? Dah janji dari awal?”

Farahymma mengerutkan keningnya. Dia keliru kenapa Qismyna perlu mengambil tahu urusan peribadinya. Dia kurang senang dengan pertanyaan itu. Bukankah itu haknya untuk berjumpa dengan sesiapa. Itu pun ketika waktu makannya. Bukan dalam waktu kerja.

“Ya. Saya keluar makan dengan dia. Tapi itu hanya kebetulan sebab dia ada kat sini.” Farahymma cuba mengukirkan senyuman menutup hatinya yang tak senang diasak dengan pelbagai soalan. “Tak janji pun.”

“Boleh saya tahu apa hubungan awak dengan dia?”

Farahymma diam seketika. Dia menjadi tak keruan untuk menjawab pertanyaan Qismyna. Qismyna hanya menunggu dengan debaran. Apa agaknya jawapan gadis di depannya ini?

“Kawan,” ringkas jawapan yang diberi.

“Kawan?!” Qismyna menjungkitkan keningnya. “But it seems not like that..”

“Kenapa Cik Qis tanya?” Farahymma semakin lemas dengan soalan Qismyna.

“Saja. Sebab saya prihatin. Awak baru saja berkenalan dengan dia.” Qismyna cuba untuk masuk jarum. “ Kadang-kadang orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat.”

“Tapi saya dah lama kenal dia. Dah tujuh tahun pun,” beritahu Farahymma. Mungkin berterus terang lebih baik. Apatah lagi Qismyna kelihatan berminat untuk mengetahui tentang Wes. “Dah lima tahun kami tak jumpa. Sebab dia pulang ke rumah orang tua dia di Sabah. Dan kami baru berjumpa semula.”

“What?!” Qismyna kelihatan benar-benar terkejut mendengar penjelasan Farahymma sehingga menyebabkan mulutnya ternganga sedikit.

“Tapi dia beritahu saya dia baru saja berkenalan dengan awak.” Tiba giliran Farahymma pulak terlopong.

“Cik Qis kenal dia?”

“Kenapa pulak tak? Dia suami saya.”

Terbeliak biji mata Farahymma! Tika ini hanya Tuhan saja yang mengerti perasaannya. Terasa bagai ada batu yang menghempap kepala.

Sampai hati Wes menipunya. Dia benar-benar tidak menyangka Wes telah berkahwin. Lebih malang lagi, Wes tidak berkahwin dengan Manisa tetapi dengan majikannya.

Qismyna merenung gadis di depannya. Gadis yang kelihatan polos yang tidak pandai menyembunyikan rahsia hati. Melihatkan wajahnya sahaja, Qismyna dapat mengagak apa yang tersirat di hatinya.

“Awak terkejut? Sedih?” Qismyna mengetap bibir mungilnya. “Kenapa?” Qismyna bertanya. Farahymma yang kelihatan tak keruan mengangkat kepalanya dan cuba mengukirkan senyuman.

Jelas! Senyuman itu tidak berseri seperti mana senyuman yang dilemparkan gadis itu sewaktu bertemu dengan Wes.

“Tak.....cuma saya tak sangka sahabat saya berkahwin dalam diam. Langsung tak de khabar berita. Saya yang selalu berjumpa dengan dia pun tak tahu hal ni.” Farahymma bersuara. Kali ini agak lancar. Mungkin juga dia telah dapat mangawal dirinya.

“Semua orang tahu saya dah kahwin. Tapi tak ramai orang tahu siapa suami saya.” Memang benar, perkahwinannya dulu tidak dirahsiakan tetapi majlis kenduri hanya kecil-kecilan dan orang luar tidak dijemput.

“Jadi.....dia berbohong dengan saya.....” Qismyna mula memainkan peranannya. “Katanya.....dia baru kenal dengan awak. Awak dengan dia.......”

“Tak! Tak Cik Qis. Cik Qis jangan fikir yang bukan-bukan. Sebenarnya saya dah pun bertunang. Saya pun akan berkahwin tak lama lagi.”

“Awak dah bertunang?” Qismyna agak terkejut sedikit. Akhirnya dia menghembuskan nafas kelegaan. Namun, dia sendiri tak pasti untuk apa. Mungkinkah dia lega kerana mengetahui gadis itu telah pun bertunang.

“Tunang awak tahu awak selalu keluar dengan Wes?”

Farahymma terdiam sebentar sebelum menganggukkan kepalanya.

“Ya.....dia tahu kami berdua berkawan baik. Lagi pun kami jarang jumpa waktu siang. Selalu jumpa malam je.”

“Jadi suami saya kenal dengan tunang awak?” tanya Qismyna lagi.

“Hmmm....” Farahymma kelihatan teragak-agak untuk menjawab. “Ya...” akhirnya dia bersuara.

“Tentu Wes dan tunang awak rapat, kan? Sebab tu awak rapat dengan Wes. Betul tak?” Qismyna cuba memancing lagi.

“Ya.”

“Jadi tentu kamu bertiga selalu keluar bersama.” Qismyna tersenyum lalu berdiri dan menyelak kain tingkap. Farahymma hanya memerhati dari ekor matanya.

“Lepas ni, kalau kamu keluar bertiga lagi......bolehlah saya ikut sekali. Saya pun nak juga berkenalan dengan kawan-kawan Wes.” Qismyna yang melihat Farahymma melalui cermin tingkapnya terseyum sinis melihatkan wajah yang tak tentu arah itu.

“Apakata malam ni kita keluar sama-sama.” Qismyna beralih memandang Farahymma dan kembali ke kerusinya dan mengadap gadis itu.

Farahymma menelan air liur. Pedih terasa ditekaknya bagai ada batu yang menghalang.

“Boleh.......tapi.....” Farahymma terdiam seketika.

“Tapi apa?” Qismyna mengangkat kening menunggu jawapan.

“Tapi......tunang saya tak de kat sini. Dia outstation. Sebulan.” Pantas Farahymma memberi alasan. Qismyna mengerutkan keningnya.

“Apa kerja tunang awak? Tentu berpangkat tinggi, kan?” Farahymma hanya mengangguk.

“Tak pelah kalau macam tu. Mungkin lain kali. I guess.” Qismyna mengukirkan senyuman. Farahymma membalas.

“Siapa nama tunang awak?”

“Jeff.......Jeffry.”

“Okey. Nanti kirim salam pada Jeffry. Katakan pada dia......Qismyna isteri Wes, teringin sangat nak berkenalan dengan dia. Okey?”

“Okey.” Farahymma menelan air liur untuk sekian kalinya.



SEBAIK sahaja selesai makan malam Qismyna mengambil angin di luar. Niat dihati ingin merehatkan diri sambil menghirup udara malam yang segar. Entah kenapa fikirannya bercelaru sebaik saja dia berjumpa dengan Farahymma petang tadi. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

Menurut gadis itu, dia telah pun bertunang. Tetapi gadis itu kelihatan sedih bila mengetahui Wes telah mempunyai isteri. Bila ditanya tentang tunangnya, Farahymma kelihatan resah. Ceritanya tunggang langgang dan tak tentu arah.

Firasatnya mengatakan gadis itu berbohong dengannya. Watak Jeffry itu seperti diada-adakan. Kelihatannya seperti lelaki itu tidak wujud.

Dek kerana tenggelam dalam lamunannya Qismyna langsung tidak menyedari kehadiran Wes di sebelahnya. Sebaik saja ditegur oleh Wes barulah Qismyna menoleh ke arah lelaki itu.

Masing-masing diam seketika. Wes melirik sekejap wajah gadis di sebelahnya. Kelihatannya seperti gadis itu memikirkan sesuatu yang berat. Mungkin juga Qismyna mempunyai masalah dengan cafenya. Ataupun, Adam yang menjadi puncanya gadis itu mengasingkan diri.

“Kenapa?” tanya Wes lembut.

“Apa yang kenapa?” tanya Qismyna kembali sambil menoleh memandang Wes yang duduk di sebelahnya. Sengaja dia pura-pura tidak mengerti soalan lelaki itu.

“Awak ada masalah ke?”

“Kenapa awak nak tahu?” soalan masih dibalas dengan soalan.

“Saya tanya je. Kalau awak tak nak bagitahu.......terpulanglah.” Wes mengangkat bahunya.

Apabila melihatkan Wes yang ingin berlalu pergi, Qismyna tiba-tiba bangun dan menahannya. Wes kelihatan terkejut dengan tindakan Qismyna yang tiba-tiba memegang lengannya.

Dia memandang gadis itu dan mengukirkan senyuman mengejek. Pantas Qismyna melepaskan tangannya. Dia merasa bodoh dengan tindakannya.

“Saya ada hal sikit nak bincang.” Mereka kembali duduk semula.

Agak lama juga mereka duduk begitu. Wes masih menunggu Qismyna untuk berkata-kata. Entah apa yang hendak dibincangkan masih belum diketahui. Qismyna hanya merenung jauh ke angkasa melihat bulan dan bintang yang berkedipan.

“Ada apa sebenarnya ni?” Wes memulakan bicara. Qismyna seperti baru tersedar dari lamunannya.

“Hmm....” Qismyna mengurut-ngurut dahinya. Entah apa yang ingin dibincangkan dengan lelaki itu sebenarnya.

“Saya dengar cerita, Farahymma dah bertunang.” Qismyna memulakan kata-katanya.

“Ya.....memang betul. Dia dah bertunang,” jawab Wes dengan selamba. “Awak tanya dengan dia ke?”

“Ya.” Qismyna mengangguk. “Dan dia pun dah tahu tentang kita.” Wes terkejut. Tiba-tiba rasa marah muncul dalam hatinya. Dia masih belum bersedia untuk memberitahu Faraymma tetapi kenapa Qismyna pandai-pandai membuka rahsia mereka pada gadis itu.

“Kenapa dengan awak ni?!” dia menjerkah Qismyna. Qismyna tergamam.

“Kenapa dengan awak ni?” Qismyna memandang dan bertanya soalan yang sama.

“Kenapa awak beritahu dia?” tengking Wes. Hati Qismyna melonjak geram. Tiba-tiba sahaja perasaan marah menguasai diri. Dia memang tidak suka ditengking begitu.

“Kenapa awak nak marah? Kalau awak tak de hubungan dengan dia, kenapa awak nak marah kalau dia tahu awak dah berkahwin? Kenapa awak rahsiakan perkara ni? Kenapa awak tipu saya yang awak baru kenal dengan dia sedangkan awak dah kenal dia tujuh tahun dahulu?!” Qismyna meninggikan suaranya kerana tidak dapat menahan rasa marah.

“Apa awak peduli saya bohong kat awak?” Wes mencekap pinggang sambil merenung tepat ke dalam anak mata Qismyna. “Awak sakit hati saya bohong dengan awak? Kalau saya ada hubungan dengan dia sekali pun, apa hak awak nak halang?”

“Awak ada hubungan dengan dia?” Qismyna mengerutkan keningnya. Keliru!. “Saya tak fahamlah, dia kan dah bertunang!”

“Dia tu cuma bertunang je. Bukannya dah kahwin,” ujar Wes dengan lancang. “Orang kahwin atas dasar cinta pun boleh bercerai apatah lagi kita ni.”

Begitu pedih sekali ayat yang dikeluarkan Wes. Qismyna terasa ingin mengalirkan airmata di situ juga. Tetapi dia tak mahu Wes memperkecilkan dirinya. Dia tak mahu merasa bodoh dengan tindakannya.

“Kan saya dah janji nak jadi pontianak dalam hidup awak.” Qismyna memaksa dirinya memandang Wes. Wes tersenyum sinis.

“Awak nak balas dendam sebab saya beritahu Adam yang saya ni suami awak?”

Wes menggeleng-geleng kepala tanda tidak berpuas hati. Dia menjeling Qismyna sekilas lalu meninggalkan gadis itu.

Sebaik sahaja Wes menghilangkan diri, Qismyna terduduk di situ. Dia tidak tahu apa punca pertengkaran dia dan Wes. Adakah kerana dia berterus terang dengan Farahymma menyebabkan Wes jadi begitu. Tapi kenapa Wes begitu marah sedangkan Farahymma telah pun bertunang?

Wes mengambil angin di beranda. Dia cuba membuang rasa marah yang bersarang di dada. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia jadi begitu hanya di sebabkan Qismyna berterus terang tentang hubungan mereka kepada Farahymma.

Farahymma berhak tahu tentang itu. Lagi pun, gadis itu telah bertunang. Dia seharusnya menerima kenyataan itu. Tapi dia belum bersedia.

“Wes.” Tiba-tiba dia terdengar suara Qismyna yang menegurnya. Wes tidak berpaling melihatnya. Dia hanya memandang terus ke luar.

“Saya minta maaf kalau tindakan saya salah.”

Buat pertama kali Qismyna meminta maaf pada lelaki yang amat dibencinya. Tetapi ucapan maaf itu tidak berbekas di hati Wes.

“Kalau awak rasa saya patut jumpa dengan Farahymma dan beritahu dia perkara yang sebenar........”

“Tak perlu. Saya sendiri akan jumpa dengan dia. Cuma saya minta awak jangan ganggu urusan peribadi saya.” Wes bersuara tegas. “Saya pun tak ganggu awak waktu awak jumpa dengan Adam.”

Wes berlalu meninggalkan Qismyna. Qismyna benar-benar merasa sedih dengan sikap Wes. Wes sanggup membelakangkan dia hanya semata-mata kerana Farahymma.

.

No comments:

Post a Comment