Thursday 11 March 2010

Saat Hati Merelakan 40

DUA minggu telah berlalu tanpa ada perubahan dalam hubungan Qismyna dan Wes. Masing-masing membawa haluan masing-masing. Tetapi perbezaan yang ketara dalam hubungan mereka apabila mereka tidak lagi bertengkar seperti selalu.


Mereka berdua bersikap seperti tidak mengenali antara satu sama lain. Apabila Qismyna berada di ruang tamu, Wes akan berada di bilik. Apabila Wes berada di ruang tamu, Qismyna keluar mengambil angin di luar atau masuk ke bilik. Wes pula, hanya masuk ke bilik apabila melihat Qismyna mematikan lampu.

Keadaan yang baru itu amat tidak menyenangkan seluruh keluarga Qismyna. Walaupun ada baiknya kerana mereka tidak lagi bertengkar, tetapi apabila mereka membisu begini, merupakan petanda tidak baik.

Puan Suria ada menelefon Puan Wati dan memberitahu perkembangan anak menantu mereka. Ternyata Puan Wati juga merasa gusar. Puan Wati membuat keputusan akan terbang ke Pulau Pinang jika mereka masih seperti itu dalam tiga empat hari lagi.

Selepas sahaja Wes pulang dari pejabat, Puan Suria menemuinya dan memintanya berjumpa dengan Tuan Malik di bilik bacaan. Mungkin apabila mereka berbual dari lelaki ke lelaki, hati Wes akan terbuka untuk memulihkan hubungan mereka.

Tanpa soal, Wes melangkahkan kakinya menuju ke bilik bacaan. Dalam hatinya telah dapat meneka untuk apa ayah mertuanya memanggilnya. Sebaik sahaja pintu di buka, Tuan Malik sedia menanti dengan senyuman.

Wes duduk berhadapan dengan Tuan Malik. Hanya senyuman balasan dihulurkan dan kemudian dia diam seperti menunggu untuk dimarahi. Tuan Malik hanya menggelengkan kepalanya.

“Sebelum ayah cakap apa-apa, terlebih dahulu ayah nak minta maaf.” Tuan Malik memulakan bicara. “Ayah bukan nak masuk campur urusan rumah tangga Wes dan Qis. Tapi, jika ayah biarkan.........” Tuan Malik menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.

“Walaupun ayah tahu hubungan kamu berdua macam mana, tapi Wes dah janji akan cuba pertahankan rumah tangga ni, kan?” Tuan Malik memandang Wes tajam. Tanpa membalas renungan Tuan Malik, Wes mengangguk.

“Ayah bukan nak memaksa Wes terima Qis dalam hidup Wes. Cuma ayah mahu Wes fikir. Kenapa Tuhan jodohkan Wes dengan Qis? Tentu ada sebabnya. Sebabnya, jodoh Wes adalah dengan Qis.”

“Ayah tahu Wes dan Qis masing-masing sukar untuk menerima hakikat itu. Tapi cubalah untuk menerimanya. Mungkin Qis agak degil dan keras hati sedikit orangnya. Tapi percayalah Wes, Qis seorang anak yang baik dan ayah percaya yang dia juga boleh jadi isteri yang baik.”

“Berilah peluang pada Qis untuk menyedari hakikat ini. Bila dia dah boleh menerima Wes dalam hidupnya, dia akan setia pada Wes. Orang perempuan ni Wes, di kurniakan akal yang sedikit dan hati yang banyak. Tak susah sebenarnya untuk melembutkan hati mereka.”

“Kita cuma perlukan kesabaran dan kelembutan. Insyaallah, hati yang keras juga akan cair. Begitu jugalah dengan Qis. Kalau Wes mengenali Qis dengan dekat, Wes akan tahu yang dia seorang gadis yang penyayang,”

“Ayah bukan nak memuji dia kerana dia anak ayah. Tetapi ayah tahu diri Qis yang sebenar. Ada kalanya dia sukar untuk difahami dan suka memendam rasa. Lima tahun dia tinggalkan keluarga untuk sambung belajar di Johor. Tetapi tiada siapa pun tahu yang sebenarnya dia membawa diri. Bila dia di sana dan cuba larikan diri dari semua orang, barulah kami tahu ada sesuatu yang tak kena dengan dia.”

“Mujurlah ada Fauzan. Selama ini Fauzanlah yang menjaga Qis walaupun dia jauh di Australia. Melalui Fauzanlah kami tahu khabar dia. Itu pun Fauzan rahsiakan kenapa Qis bawa diri sampai ke sana. Kalau tak de Fauzan.......tak tahulah.”

“Wes pun tahukan yang Fauzan adalah bakal tunangan Qis sebelum dia berkahwin dengan Wes. Mereka berdua tidak bercinta, tetapi pilihan keluarga. Kami semua merasakan yang Fauzan adalah jodoh terbaik untuk Qis.”

Entah kenapa bila dia mendengar Tuan Malik seakan memuji Fauzan, dia merasa tidak senang. Mungkin kerana Fauzan adalah menantu pilihan. Tiba-tiba rasa cemburu menguasai diri.

“Tapi Tuhan telah menetapkan semuanya. Jodoh terbaik buat Qis adalah Wes. Kerana itu Tuhan menyatukan kamu berdua walaupun dalam keadaan yang memalukan. Jodoh kamu ditentukan oleh Tuhan. Bukankah ia satu tanda yang baik?” Akhirnya Tuan Malik berkata begitu apabila menyedari menantunya itu tidak senang mendengar pujiannya pada Fauzan.



JAM hampir mencecah sepuluh malam. Qismyna yang baru tiba balik dari melawat Zila dan bayinya terus masuk ke bilik tidur setelah bersalam dengan orang tuanya yang sedang menonton televisyen.

Memang dia sengaja pulang lewat untuk mengelak dirinya dari berjumpa dengan Wes.

Sebaik sahaja sampai di bilik tidur Qismyna membuka pintu dan lampu. Dia terpandangkan kelibat Wes yang sedang enak di buai mimpi di atas katil. Hatinya mula tak senang. Kenapa lelaki itu tidak tidur di atas sofa seperti selalu.

Walaupun berasa kurang senang dengan tindakan Wes, namun dia tidak mahu mencari gaduh dengan lelaki itu. Dia menutup lampu dan membuka lampu tidur bagi menerangi sedikit bilik yang kelam itu.

Selepas mandi, dia menyisir-nyisir rambutnya di depan cermin. Melalui cermin, dia membuang pandangannya kepada Wes yang sedang mengalihkan badannya. Kemudian dia ingin melangkah ke sofa tetapi langkahnya terhenti apabila terpandangkan secebis nota yang ditinggalkan di atas meja solek.

‘Tolong kejutkan saya bila awak dah balik.’

Dia membuang pandangannya kepada Wes lagi. Dia berkira-kira sendiri sama ada hendak mengejutkan Wes atau tidak. Kemudian dia membuat keputusan untuk terus tidur di sofa itu tanpa mengejutkan Wes.



“QIS!” Terdengar satu suara memanggilnya. Seraya dengan itu bahunya disentuh lembut. Perlahan-lahan dia membuka mata. Kelihatan kelibat Wes di depannya. Pantas dia bangun dan terduduk di atas sofa.

Dia menggosok-gosok matanya. Terasa berat sekali untuk dia membuka mata. Dengan mata yang separuh buka dan separuh sedar dia melirik jam di dinding. Hampir jam tiga pagi. Dia menggosok-gosokkan matanya lagi seperti tidak mempercayai jam itu. Jam masih lagi menunjukkan angka yang sama.

Kerana tidak berpuas hati dia bangun dan mengambil jam tanggannya yang diletakkan di atas meja solek. Memang benar, hampir jam tiga pagi. Tiba-tiba darahnya seakan mendidih. Rasa ngantuknya tiba-tiba hilang.

“Apa hal pagi-pagi buta awak kejutkan saya ni?” dia menahan suaranya.

“Kenapa awak tak kejutkan saya?” tanya Wes.

“Suka hati sayalah nak kejutkan awak ke tak. Kenapa awak tak boleh set alarm sendiri ke pukul berapa yang awak nak bangun?”

“Untuk apa saya set alarm kalau saya dah beristeri.” Wes seakan tidak berpuas hati.

“Awak ingat saya ni kuli awak?!” Qismyna mencekak pinggang.

“Dah tanggungjawab isteri ikut perintah suami. Kalau awak rasa awak tu kuli, kulilah....” Wes tersenyum sinis. Qismyna semakin berang.

“Awak nak saya kejutkan awak supaya kita boleh bertengkar ke?” Qismyna menahan nafasnya yang turun naik. “Kenapa awak suka sakitkan hati saya?”

“Memang saya suka sakitkan hati awak! Kenapa? Tak suka?” Wes menyindir lagi. Qismyna benar-benar terasa hati. Perasaan marah dan benci mula menguasai diri.

Tanpa membidas kata-kata Wes dia terus membaringkan dirinya ke sofa semula lalu menutup mukanya dengan bantal. Wes tidak berpuas hati melihat Qismyna yang tidak memperdulikannya.

Dia menarik bantal Qismyna. Qismyna menarik kembali. Kemudian mereka menarik dan berebut bantal yang satu. Dek kerana geram Qismyna melepaskan bantal itu dan Wes terus terjatuh ke belakang.

Wes mengerang kesakitan sambil memegang belakang pinggangnya. Qismyna mencebik mukanya tanda meluat. Namun dia tidak sampai hati melihat lelaki itu yang sedang menahan kesakitan.

Walaupun tanpa ikhlas dia memimpin Wes ke atas katil dan membaringkan lelaki itu. Kemudian dia mengambil peti kecemasan yang tersimpan di bawah katil lalu mengeluarkan minyak urut.

Setelah dia meminta Wes tidur secara meniarap dan mengangkat sedikit baju, dia terus menyapukan minyak dan mengurut perlahan belakang pinggang lelaki itu.

Wes merasa senang sekali merasa urutan Qismyna. Dalam diam dia tersenyum sendiri. Terbit rasa gembira di hati.

“Kenapa awak buat macam ni?” tanya Qismyna sambil tangannya masih lagi mengurut lelaki itu. Wes terdiam seketika. Senyuman yang terukir tiba-tiba mati mendengar soalan Qismyna.

“Sebenarnya, saya ada hal nak bincang dengan awak.”

“Hal apa yang penting sampai kena kejutkan saya malam-malam. Kan dah jadi hal bila awak sakit macam ni. Esok saya nak kerja. Nak bangun pagi. Dah lah semalam saya balik lambat. Kenapa dengan awak ni?”

“Yang tu pun awak nak marah ke?” Wes bersuara lantang. Qismyna yang merasa geram, menepuk pinggang Wes yang sakit. Walaupun dia menepuk perlahan namun sudah cukup untuk membuat Wes mengerang kesakitan.

“Awak tak payah nak tinggikan suara! Kalau awak buat macam tu lagi, saya pukul awak!” ugut Qismyna. Wes terdiam. Nampaknya Qismyna mengambil kesempatan atas dirinya. Tak pe.

“Jom kita pindah.” Akhirnya Wes bersuara. Qismyna terlopong.

“Pindah?!” Dia ketawa kelucuan.

“Kenapa awak ketawa?!” Wes merasa geram mendengar tawa itu. “Apa yang kelakar?!”

“Mestilah kelakar.” Qismyna tertawa lagi. “Sedangkan begini pun asyik bertengkar. Inikan pula nak pindah dan hidup berdua.” Tanpa banyak soal dan memperdulikan Wes, Qismyna bangun untuk menyambung tidurnya yang tergendala.

“Nanti dulu. Awak belum dengar penjelasan saya.” Wes cuba untuk bangun, tetapi pinggang sakit membuatkan pergerakannya terbatas. “Qis....” panggilnya. Qismyna yang mendengar hanya membisu dan memekakkan telinga.

Malas dia hendak melayan kerenah Wes. Dia memejamkan mata dan membelakangkan Wes. Wes mendengus geram. Jaga kau!

2 comments:

  1. hohohoo...
    br lah fauzan gtahu prsaan dia kat maya...
    lmbap la fauzan ni....
    nntmelepas kang baru pdn muka...
    hrp2 zurin x tikam dr blakang...
    zurin kan suke kat fauzan...

    ReplyDelete
  2. harap2, zurin tak kecewa dan melakukan sesuatu yg bodoh......

    ReplyDelete