Monday 22 March 2010

Saat Hati Merelakan 44

SEBULAN berlalu dengan pantas. Namun masa itu terlalu singkat dirasakan hinggakan dalam tempoh tersebut masih tiada perubahan dalam hubungan mereka. Mereka masih lagi berpura-pura baik di hadapan keluarga. Tetapi dibaliknya, mereka masih seperti dahulu.


Sungguhpun mereka sentiasa berpura-pura menerima antara satu sama lain, sebagai orang tua yang terlebih dahulu menghadapi kehidupan, Tuan Malik dan Puan Suria dapat menghidu lakonan mereka yang mentah.

Tetapi Tuan Malik telah pun berbincang dengan Puan Suria dan juga besannya di Sabah. Dan mereka bersetuju untuk membenarkan Qismyna dan Wes berpindah keluar dan tinggal berdua. Mungkin dengan cara sebegitu hubungan mereka akan bertambah lebih erat.

Wes pula kelihatan gembira kerana berjaya membuatkan kedua-dua belah orang tua mereka bersetuju untuk membenarkan mereka tinggal berasingan.

Berlainan pula dengan Qismyna. Dia masih tertanya-tanya sendiri apakah nasib yang bakal ditempuhinya setelah berpisah dengan keluarganya dan tinggal bersama dengan Wes.

Dia tidak gusar untuk tinggal bersama lelaki itu sebenarnya. Kerana dia yakin Wes tidak mengapa-apakannya. Cuma dia risau, jika kesempatan ini digunakan Wes untuk sentiasa berada di sisi Farahymma. Dia benar-benar risau jika cinta di antara mereka berdua masih wujud dan akan terus berkekalan.



HARI minggu itu, selepas bersarapan bersama keluarga, Tuan Malik dan Puan Suria menemani Qismyna dan Wes berpindah ke kediaman baru mereka. Kediaman yang dimaksudkan bukanlah rumah milik mereka sendiri melainkan rumah syarikat yang pernah diinapi Wes sebelum mereka berkahwin dahulu.

Walaupun rumah itu bukanlah milik sendiri tetapi Qismyna tetap menerima dengan hati yang terbuka. Manalah tahu, kalau jodohnya dengan Wes tidak panjang. Lagi pun rumah itu telah dilengkapi dengan perabot dan peralatan dapur. Dia hanya membawa pakaian dan keperluan peribadi sahaja. Barang yang lain masih ditinggalkan di kediaman orang tuanya.

Selepas makan tengahari, Tuan Malik dan Puan Suria telah pulang ke rumah setelah menerima panggilan dari Ariff. Kini hanya tinggal Qismyna dan Wes berdua. Walaupun kedua orang tuanya telah berjanji untuk membantu mereka membersih dan mengemas rumah, namun mereka terpaksa pulang sebelum sempat membantu.

Wes menghabiskan masa menonton televisyen. Qismyna pula menghilangkah diri dan menyalin pakaian untuk membersihkan rumah.

Setelah mengenakan apron di badan, dia mula membersih dan mengemas rumah yang telah lama ditinggalkan itu. Membuang habuk-habuk yang lama tidak dibersihkan. Mengemop dan menyapu lantai. Sesekali matanya melirik Wes yang sedang bersenang di depan televisyen. Hatinya terasa sakit namun dia berpura-pura tidak mengambil tahu.

“Lepas awak bersihkan semua ni, awak lap tingkap sekali.” Wes mendekati cermin tingkap lalu menyapu dengan jarinya. “Tebal betul habuk ni!”

Mendengar suara Wes yang tiba-tiba memecah kesunyian antara mereka, Qismyna berpaling sambil sebelah tangan kanannya mencekak pinggang.

“Macam bos nampak!” sindir Qismyna yang sedang memegang batang mop dengan tangan kirinya. Wes tersengih memandang Qismyna.

“This is my house. And you must listen to my word!” Begitu angkuh sekali percakapan Wes di telinganya.

“Fine!” Menghempas batang mop ke lantai. “Saya boleh keluar dari rumah ni!” Qismyna berkira-kira hendak pergi. Sudahlah dia penat membesihkan rumah, lelaki itu pula bersenang lenang sambil menonton televisyen. Kemudian, tak sudah-sudah menyakitkan hatinya.

“Qis! Tunggu!” Wes menarik tangan Qismyna. “Saya gurau jelah....” Dia mula merasa risau jika Qismyna benar-benar mengotakan kata-katanya. Gadis itu kelihatan serius.

“Kalau awak tak nak saya keluar dari rumah ni, saya nak awak tolong saya bersihkan rumah.” Ada nada ugutan dari suara Qismyna. Wes menjungkitkan keningnya.

“Jom kita duduk. Saya ada hal penting nak bincang dengan awak,” ajak Wes. Qismyna yang merasa was-was tetap melabuhkan punggungnya di hadapan Wes.

“Saya nak kita buat perjanjian.”

“Perjanjian?” Qismyna mengerutkan keningnya.

“Ya! Perjanjian.” Wes mengulangi kata-katanya. “Awak pun tentu tak mahu terus hidup dengan dunia pura-pura kita ni, kan?” Qismyna mengetap bibir tanpa memberi sebarang respon. Dia memeluk tubuh menantikan kata-kata seterusnya dari lelaki itu.

Wes bangun lalu mengambil briefcase. Lalu mengeluarkan beberapa helaian kertas lalu menyerahkan pada Qismyna. Qismyna menyambut lalu membaca setiap patah perkataan yang tertulis.

“Apa semua ni?” Qismyna terlopong sebentar.

“Perjanjian!” balas Wes ringkas. “Selama awak tinggal di sini, awak kena siapkan setiap keperluan saya. Sarapan jam tujuh pagi dan makan malam, jam lapan malam. Setiap hari awak kena kemaskan dan bersihkan rumah. Awak sendiri tahu, kan yang saya tak suka rumah ni berselerak dan kotor.”

“Kenapa saya perlu bersetuju dengan semua perjanjian ni?” Qismyna mengetap bibinya menantikan jawapan.

“Dalam rumah ni terdapat tiga bilik tidur. Dua darinya adalah bilik utama. Memandangkan kita akan tidur berasingan jadi saya tak dapat selamatkan awak lagi waktu hujan nanti.” Wes tersenyum menyindir.

“Jadi, salah satu bilik saya dah pun upah orang untuk pasangkan cermin kalis bunyi. Kalau awak setuju dengan perjanjian ni bilik tu akan jadi milik awak.”

‘Tak guna!’ rungut Qismyna di dalam hati. Wes telah mengambil kesempatan atas kelemahannya! Qismyna menarik nafas panjang. Dia membaca perjanjian yang seterusnya yang tersenarai dalam kertas itu.

“Tidak boleh mengambil tahu hal masing-masing?” Qismyna mencebikkan bibirnya. “Macam mana pula dengan janji awak yang nak jadi mimpi ngeri saya?”

“Ini perjanjian baru,” ujar Wes.

Tanpa bertanya lagi. Qismyna terus menandatangani perjanjian itu. Wes tersenyum penuh makna.



DENGAN bercahayakan lampu kuning yang romantis dan diiringi dengan alunan biola, mereka berdua bercerita dan berbual dengan penuh kemesraan. Seperti sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta lagaknya.

Walaupun begitu, mereka masih ingat batas-batas yang sepatutnya dan janji mereka untuk menjadi sahabat masih kekal diingatan.

“Minggu lepas, orang tua Jeffry datang ke rumah. Mereka tetapkan untuk melangsungkan pernikahan kami secepat mungkin.” Dalam terpaksa, Wes mengukirkan senyuman.

“Uncle dan auntie awak setuju?” tanya Wes yang sedia maklum dengan keadaan Farahymma.

Farahymma merupakan anak yatim piatu setelah kehilangan kedua orang tuanya ketika usianya lima tahun lagi. Dia telah di ambil sebagai anak angkat oleh mak ciknya sendiri apatah lagi memandangkan pasangan itu tidak mampu memperoleh zuriat sendiri.

“Baguslah tu.”

Farahymma tersenyum. Dia tahu, walaupun lelaki itu cuba menyembunyikan perasaannnya namun jelas menunjukkan rasa tidak senangnya. Tentu sahaja lelaki itu takut untuk kehilangannya.

“Awak!” panggilnya perlahan. “Kita dah berjanji untuk jadi sahabat setia untuk selama-lamanya, kan?” tanyanya. Wes mengangguk.

“Saya nak awak tahu satu perkara. Bila saya berkahwin nanti, saya akan menjadi milik Jeffry sepenuhnya. Tapi percayalah, saya akan mengotakan setiap janji-janji saya. Saya janji pada awak. Walaupun saya dah berkahwin dengan Jeffry nanti, saya takkan melupakan janji-janji saya.”

“Farah.....” Wes menghembuskan nafasnya. “Saya tahu awak akan penuhi setiap janji-janji awak kerana awak seorang yang berpegang teguh pada janji.” Wes merenung gadis itu. “Saya yang perlu berjanji pada awak.”

“Saya berjanji akan berada di sisi awak di saat susah atau senang. Saya janji pada awak selagi awak memerlukan saya, saya akan sentiasa berada di samping awak.”

Kata-kata itu lahir darinya yang ikhlas. Dan dia sendiri telah pun berjanji pada dirinya akan menjaga Farahymma walaupun gadis itu telah berkahwin suatu hari nanti. Dia takkan meninggalkan gadis itu selagi dia diperlukan melainkan Farahymma sendiri yang memintanya agar berbuat demikian.

Janji-janji itu semua dibuat bagi menebus kesalahannya pada Farahymma dahulu. Lima tahun dia membuat gadis itu menderita dan sekarang, biarlah dia berkorban untuk kegembiraan gadis itu pula.



WES membuka pintu lalu menutup semula. Sekilas dia melirik jam di tangan. Hampir jam sebelas malam. Dia ingin melangkah memanjat anak-anak tangga menuju ke bilik tetapi langkahnya terhenti apabila mendapati lampu di meja makan masih menyala. Pantas dia mengahayunkan langkah.

Langkahnya terhenti apabila terlihatkan Qismyna yang tertidur di atas meja makan. Dia menghampiri gadis itu. Dia melihat makan yang di sajikan masih belum terusik. Mungkin gadis itu sedang menunggunya untuk makan malam. Rasa bersalah mula terasa di hati.

Perlahan-lahan dia mengejutkan Qismyna. Qismyna membuka mata lalu menggosok-gosokkan matanya. Dia terpandangkan Wes.

“Awak dah makan?” tanya Qismyna. Wes terdiam sebentar.

“Belum,” jawabnya. Kemudian dia menarik kerusi di hadapan Qismyna dan melabuhkan punggungnya di situ. Maya melirik jam yang tergantung di dinding.

“Dah pukul sebelas malam awak masih belum makan?!” Qismyna menjegilkan matanya.

“Saya sibuk sangat. Tak sempat nak makan.” Wes berbohong. Bagaimana dia harus menyatakan yang perutnya telah pun kenyang selepas makan malam dengan Farahymma.

Tanpa berlengah lagi, Qismyna pantas menyendukkan nasi ke dalam pinggan Wes dan kemudian ke dalam pinggannya.

Wes melihat-lihat lauk yang disediakan Qismyna. Kemudian dia memandang ke arah Qismyna yang telah pun menyantap makanannya setelah selesai membaca doa.

“Apa yang awak masak ni?” tanya Wes sambil matanya terarah pada dua ketul ikan goreng dan sambal telur yang disediakan Qismyna.

“Ikan goreng dan sambal telur,” jawab Qismyna seperti tidak mengerti maksud di sebalik soalan lelaki itu.

“Kalau ni yang awak masak, baik awak tak payah masak!”

“Ni kira okeylah saya masak. Awak sendiri tahu saya tak pandai masak, kan? Apasal awak buat perjanjian bodoh tu?” Qismyna menjeling pada Wes. “Makanlah! Penat saya masak tau!”

Wes menghembus nafas tidak senang. Walaupun seleranya mati namun dia tetap menjamah hidangan yang disediakan Qismyna untuk tidak mengguriskan hati gadis itu.

Melihat sahaja Wes menjamah hidangan pertama yang disediakan, Qismyna tersenyum. Dia gembira walaupun Wes kelihatan tidak berselera dengan masakannya lelaki itu masih sudi untuk menjamahnya

2 comments:

  1. hohoho...
    hrp2 maya trma fauzan....
    fauzan trlalu baik untk dikecewakan...
    baik kte trma org yg mnyayangi kte lbih dr kye mnyayangi dia...
    cnta blh di pupuk pas kawen yg pntg kte iklas untk mnrma....
    x nak maya ngn adam...
    adam dah ada khdpn lain...

    ReplyDelete
  2. terimalah fauzan, maya......dr adam tu, dah laki orang, masih ada hati nak cari maya lagi!!! apapun, akak followwwwwwwww

    ReplyDelete