Thursday 11 March 2010

Hanya Dia 17

BAB 17

ZACK masih termangu di situ. Sesekali dia mengambil fail lalu menyelaknya dan kemudian dia melemparkan fail itu semula apabila dia merasakan sukar untuk dia fokus dengan kerjanya. Setelah menenangkan diri, dia mencapai semula fail. Namun, apabila helaian demi helaian laporan diselak, fikirannya melayang semula menyebabkan dia meletak semula fail.
Semuanya serba tidak kena yang dirasakan. Apa yang berlegar-legar di kepalanya hanyalah amaran Fariz agar dia menjauhi Maisara.
“Sofea!” Akhirnya dia menekan punat interkom lalu memanggil Sofea. “Masuk sekejap!”
“Baik Encik Zack,” kedengaran suara Sofea membalas.
Tidak lama selepas itu, Sofea muncul di hadapan Zack setelah mengetuk pintu.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu Encik Zack?” tanyanya.
Zack yang sedang duduk di kerusi menundukkan kepala sambil memicit-micit dahinya seolah-olah sedang menahan sakit. Soalan Sofea dibiarkan berlalu.
Sofea tahu, Encik Zack sedang berhadapan dengan masalah. Sejak kedatangan Encik Fariz tempoh hari, emosi Encik Zack seakan-akan tidak stabil. Ada sahaja yang tidak kena di matanya sehingga membuatkan dia sentiasa marah-marah dengan pekerjanya walaupun untuk hal yang kecil sahaja.
Sofea mengeluh perlahan. Dia rindukan Encik Zack dahulu. Encik Zack yang sentiasa tenang dan bersopan dengan pekerjanya walaupun di saat mereka melakukan kesilapan.
“Saya nak awak ambil semua fail ni dan check semua costing,” arah Zack sambil kepalanya melangut memandang Sofea yang berdiri di depannya.
“Check costing?” Riak wajah Sofea yang menampakkan kerutan menunjukkan dia terkejut dengan arahan itu.
“Kenapa? Ada masalah?” Zack melemparkan pandangan tidak senang dengan reaksi Sofea.
“Tak.....tak.....Saya akan check semuanya secepat mungkin.” Bergegas Sofea mengumpul semua fail di atas meja Zack lalu meminta diri untuk menyambung semula kerjanya.
“Pastikan semuanya betul tanpa ada kesilapan,” Zack memberi arahan lagi. Sofea yang sedang memegang tombol pintu menganggukkan kepalanya sebelum hilang apabila pintu ditutup semula.
Sofea melepaskan keluhan apabila tiba di mejanya. Semua fail diletakkan di atas meja. Entahlah apa yang tak kena dengan Encik Zack.
Biasanya, selepas Amzar menyediakan laporan untuk semua costing dan dilampirkan dengan pesanan kerja, Encik Zack sendiri yang akan mengira semua total yang perlu dikeluarkan sebelum meluluskan amaunnya dan memasukkan semuanya dalam kredit akaun bulanan tanpa meminta Amzar yang melakukannya. Encik Zack memang seorang yang berhati-hati. Tapi.......
Sofea mengeluh sekali lagi. Kenapa agaknya Encik Zack jadi begini?

MAISARA melirik jam ditangan. Hampir waktu makan tengahari. Rasa culat pula hendak keluar makan memandangkan Hanum bercuti hari ini. Perutnya pula sedari tadi sudah mula ‘menyanyi’.
Akhirnya, dia hanya memesan makan tengaharinya kepada Nisa. Kemudian, mencapai suratkhabar dan menyelak satu-persatu halaman dan hanya membaca tajuknya sahaja. Namun, apabila ada tajuk yang menarik minatnya, baru dia akan membaca laporannya.

RUANGAN pejabat yang kelam dan gelap kerana semua pekerja telah keluar untuk makan tengahari. Zack yang kebetulan sedang berjalan menuju ke tandas melintasi meja Maisara dan dia terlihat ada cahaya di tempat itu. Cahaya itu tentu sahaja cahaya dari komputer Maisara. Menandakan penghuninya masih ada di situ.
Dia mengampiri meja Maisara. Memang benar, Maisara ada di situ dan sedang membaca surat khabar tanpa menyedari kehadirannya.
“Maisara,” tegur Zack perlahan.
Maisara yang sedang asyik membelek suratkhabar sedikit terkejut apabila mendengar suara yang menegur dibelakangnya. Walaupun tanpa melihat wajah, dia kenal empunya suara itu. Kerana itu pantas dia bangun dan memusing badannya.
“Encik Zack.....” Maisara mengukirkan senyuman. Dadanya berdegup kencang. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia merasakan Encik Zack seakan cuba mengelak dari bertembung dengannya. Dan apabila mereka bertembung, Encik Zack akan memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
Malah satu office juga sibuk bercerita tentang Encik Zack yang tiba-tiba berubah sikap. Encik Zack seorang yang lembut tetapi tegas telah berubah sikap menjadi bos yang pemarah. Mungkin Encik Zack sedang menghadapi masalah. Telah Maisara.
Maisara memerhati Zack yang berdiri di depannya. Kelihatan lelaki itu sedang memandang ke tempat lain seolah-olah sedang berfikir. Maisara masih setia menanti.
Zack yang masih tegak di situ masih berperang dengan dirinya sendiri. Sama ada terus pergi dari situ atau bertanya kepada Maisara untuk meleraikan segala kekusutan di kepalanya. Dia mengeluh seketika sambil sebelah tangannya mencekak pinggang.
Kemudian dia menarik nafas lalu memandang Maisara.
“Saya ada hal nak bincang dengan awak,” dia bersuara.
“Hal apa Encik Zack?”
“Jom! Masuk bilik saya. Rasanya tak elok di sini. Gelap.......dan cuma tinggal kita berdua......” Selepas berkata begitu Zack terus berlalu tanpa menunggu Maisara.
Maisara memerhati kelibat Zack yang sudah pun mengatur langkah ke dalam pejabatnya.
Ya......Di sini memang gelap dan cuma tinggal kita berdua......Tapi rasanya di dalam pejabat Encik Zack...........lebih bahaya!!
Walaupun dia merasa kurang selesa dengan arahan itu, namun dia tetap juga pergi ke pejabat Zack. Berkali-kali dia berpesan kepada dirinya supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati.
“Duduk!” Arah Zack tanpa memandang wajah Maisara. Maisara menurut.
Zack menyandarkan tubuhnya lalu dia berpaling memandang Maisara. Dia merenung wajah di hadapannya. Asyik dan lama. Sehingga membuatkan Maisara menjadi tidak keruan dan wajahnya merona merah.
Zack tiba-tiba tersenyum apabila melihat tingkah Maisara yang seakan tidak betah dengan pandangannya.
“Sebenarnya..........saya ada hal peribadi nak bincang dengan awak,” Zack sudah memulakan intronya. Dia diam sekejap untuk mencari sedikit ketenangan.
“Hmmm......?” Maisara kelihatan tidak sabar apabila kata-kata Zack terhenti.
“Awak dah berpunya?” tanya Zack. Maisara kelihatan tercengang seketika dengan soalan itu. “Maaf kalau saya terlalu berterus-terang. Tapi saya betul-betul nak tahu!”
Maisara menggelengkan kepalanya. Melihatkan gelengan Maisara, Zack menghembuskan nafas kelegaan.
“Kalau begitu, apa hubungan awak dengan Encik Fariz?”
Maisara memandang Zack dengan kerutan di wajah. Encik Fariz? siapa Encik Fariz? Seingatnya, dalam Nusmefa Emas tiada seorang pun kakitangan yang bernama Encik Fariz.
“Encik Fariz?”
“Ya.....Encik Fariz. Pengarah Infera Emas!” ujar Zack.
“Saya tak kenal siapa pengarah Infera Emas,” beritahu Maisara. “Maksud saya, saya tahu Pengarah Infera Emas, namanya Fariz Haji Ismail. Tapi saya tak pernah bersua muka dengan dia.” Maisara menerangkan lagi.
Kini giliran Zack pula mengerutkan keningnya. Pening, itu yang dirasakan sekarang.
“Kalau awak tak kenal Encik Fariz, macam mana pula dia boleh bagi amaran pada saya supaya jauhi awak?!”
“What?!” Terkedu Maisara dengan soalan itu.
Fariz Haji Ismail?? Fariz??.......Hmmm.....Fariz...................Fariz!!!!
Kini Maisara mengerti siapa Fariz yang dimaksudkan Encik Zack. Fariz?! dia tidak menyangka selama ini Fariz adalah Pengarah Infera Emas. Dia tidak pernah tahu langsung tentang hal itu. Patutlah selama ini Fariz kelihatan cukup arif dengan selok belok Nusmefa Emas.
Dia yang bodoh sebab tidak pernah mengambil tahu hal sebegini. Ketika dia bersama Fariz dulu, dia hanya tahu Fariz bekerja dengan papanya. Dan Fariz tak banyak menceritakan hal keluarganya kepada Maisara ketika itu.
Dengan rasa terkejut, Maisara bangun untuk keluar dari pejabat Zack.
“Maisara nanti!!” Zack menghalang. Maisara menghentikan langkahnya lalu berpaling memandang Zack.
“Encik Fariz adalah abang ipar saya!” Setelah berkata begitu, pantas Maisara melangkah keluar.
Abang ipar????
Zack menghembus nafas kelegaan. Patutlah Fariz kelihatan tidak senang dengan hubungan mereka. Mungkin Fariz khuatir dia akan melukakan hati Masiara. Ya! Tentu niat Fariz baik. Sebagai seorang abang ipar, tentu Fariz akan menjaga adik iparnya sebagai seorang adik. Dia tentu akan menjaga keluarganya sebaik mungkin.
Begitulah telahan Zack.

1 comment: